mattzzx Publish time 15-10-2023 04:25 PM

Adib juara Kejohanan Muaythai Negeri Sembilan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/adibmuay1_1697346864.jpg
AMINUDDIN (dua kanan) menyampaikan trofi kepada Mohd Adib Mohd Ramlee yang merangkul kejuaraan Kejohanan Muaythai Negeri Sembilan 2023, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL

Seremban: "Kemenangan ini satu permulaaan yang baik dan memberangsangkan bagi saya dalam usaha memburu kejayaan pada Sukma (Sukan Malaysia) tahun depan," kata Mohd Adib Mohd Ramlee selepas merangkul kejuaraan Kejohanan Muaythai Negeri Sembilan 2023.

Atlet berusia 19 tahun itu menewaskan Mohd Aiman Mohd Abdullah dari Persatuan Broother Hood Kuala Lumpur dengan keputusan 3-0, sekali gus menjulang Trofi Warisan Muaythai Negeri Sembilan.

Menurut Mohd Adib, pembabitannya dalam sukan itu bermula awal tahun ini dan disenaraikan antara atlet yang akan mewakili Negeri Sembilan pada temasya Sukma di Sarawak tahun depan.

"Walaupun baharu dalam sukan ini tapi saya berlatih bersungguh-sungguh dan sentiasa mengikuti latihan diberikan jurulatih.

"Ini adalah kejohanan pertama yang saya sertai tahun ini dan tidak menyangka mampu memenanginya walaupun diberikan tentangan sengit Mohd Aiman," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, hari ini.

Kejohanan itu diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 Peringkat Negeri Sembilan dan turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor dan Presiden Persatuan Muaythai Warisan Negeri Sembilan (PMWNS), Mohd Ridzuan Abdullah.

Kata Mohd Adib, dia akan terus membuat persiapan dan berlatih dengan gigih di bawah kendalian jurulatih PMWNS bagi menghadapi temasya Sukma yang dijadual akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan.

"Saya berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan selepas ini bagi menilai dan menguji tahap prestasi semasa.

"Ia penting dalam memastikan saya mampu meraih pingat untuk kontinjen Negeri Sembilan pada temasya itu nanti," katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya sedang memberikan fokus utama kepada persiapan menghadapi Sukma tahun depan untuk memastikan Muaythai menjadi penyumbang pingat emas kepada kontinjen Negeri Sembilan.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/10/1020321/adib-juara-kejohanan-muaythai-negeri-sembilan
Pages: [1]
View full version: Adib juara Kejohanan Muaythai Negeri Sembilan


ADVERTISEMENT