mattzzx Publish time 14-10-2023 12:51 PM

Peruntukan buat PDRM tingkat kualiti perkhidmatan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/13hmg1dc_1697208876.jpg

RAZARUDIN berkata PDRM akan memanfaatkan insentif dan peruntukan dalam Belanjawan 2024 sebaiknya. FOTO Aizuddin Saad.

Kuala Lumpur: Insentif buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) penting dalam usaha menambah baik aset serta meningkatkan kualiti perkhidmatan agensi keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM memberi jaminan akan memanfaatkan peruntukan diumumkan dalam Belanjawan 2024 sebaiknya.

"Antaranya, peruntukan RM20 juta kepada National Scam Response Centre (NSRC) berbanding RM 10 juta pada tahun lalu dapat meningkatkan fungsi NSRC dalam membanteras jenayah scam.

"Penggantian aset termasuk tujuh buah pesawat enjing berkembar dan lima helikopter ringan akan memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau amat menghargai usaha kerajaan menyalurkan peruntukan berkenaan yang bakal dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.

Razarudin berkata, peruntukan RM2.4 bilion untuk baik pulih, penyelenggaraan dan membina kuarters baharu bakal memberi manfaat tinggi kepada penjawat awam termasuk warga PDRM.

Beliau berkata, PDRM komited dan fokus menyampaikan perkhidmatan berintegriti dan tata kelola baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Antara insentif dan peruntukan diumumkan kerajaan untuk sektor keselamatan termasuk PDRM adalah RM19 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

Anwar turut mengumumkan pemberian ganjaran untuk agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang.

Mengulas lanjut Razarudin turut mengucapkan terima kasih di atas peruntukan dan insentif-insentif yang diumumkan hari ini.

"PDRM sangat menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan segala peruntukan yang bakal dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.

"Kami akan memastikan segala insentif Belanjawan 2024 dimanfaatkan sepenuhnya dengan tata kelola kewangan terbaik, demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara sejajar dengan usaha pembangunan Malaysia Madani," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1019801/peruntukan-buat-pdrm-tingkat-kualiti-perkhidmatan
Pages: [1]
View full version: Peruntukan buat PDRM tingkat kualiti perkhidmatan


ADVERTISEMENT