Raline Publish time 13-10-2023 07:33 AM

Pemurnian makna kalimah 'uqatila'

Pemurnian makna kalimah 'uqatila'


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0705rsaddin_1695247222.jpg
FOTO HIASAN


Artikel ini adalah sambungan kepada artikel ruangan Addin akhbar Harian Metro bertajuk 'Arahan 'umirtu' khusus untuk Nabi SAW' yang diterbitkan pada 11 September lalu.

Artikel terbabit memfokuskan jawapan ringkas Jabatan Fatwa Negara Mesir (Dar al-Ifta' al-Misriyyah) berkenaan hadis kelapan dalam kitab Hadis 40 Imam al-Nawawi (al-Arba'in al-Nawawiyyah) dan huraian terperinci berkenaan kalimah 'umirtu' yang ada dalam hadis terbabit.

Pembaca boleh merujuknya secara atas talian untuk melihat kesinambungan idea dan makna yang ingin disampaikan.

Disebut semula di sini terjemahan bagi hadis terbabit diriwayatkan daripada 'Abdullah ibnu 'Umar RA (m. 73H) bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‎"Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa ‎ sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, ‎mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak lslam, manakala perhitungan amal mereka pula terserah kepada Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Jabatan Fatwa Negara Mesir, perkataan 'uqatilu' dalam bahasa Arab berbeza maknanya jika dibandingkan dengan perkataan 'aqtulu'. Ini kerana, perkataan 'uqatilu' menunjukkan al-mufa'alah yakni al-musharakah membabitkan penglibatan kedua-dua pihak. Ia mengandungi makna bangkit mempertahankan dan bertindak balas menentang pencerobohan pihak lain.

Manakala, perkataan 'aqtulu' menunjukkan pihak yang memulakan pencerobohan dan penentangan. Perbezaan yang besar antara kedua-dua perkataan ini tidak asing daripada pemahaman Bahasa Arab yang fasih.

Al-'Allamah Badr al-Din al-'Aini (m. 855H) dalam kitabnya 'Umdah al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari pernah menjelaskan makna aspek bahasa Arab yang mendalam bagi kedua-dua perkataan ini.

Menurutnya, yang diperintahkan adalah al-qital (peperangan) dan ia bukan bermaksud bahawa jika diizinkan berperang maka diizinkan pula membunuh secara melulu. Ini kerana, ia berkaitan aspek al-mufa'alah yang melazimkan adanya perbuatan daripada kedua-dua pihak. Perkara ini tidak sama seperti perkataan al-qatlu (pembunuhan). Al-Qital itu merujuk kepada perkataan 'uqatilu' manakala al-qatlu merujuk kepada 'aqtulu' seperti yang disebut sebelumnya.

Penggunaan perkataan yang berunsur al-mufa'alah atau al-musharakah (seperti al-qital atau uqatilu atau seumpamanya) juga terdapat dalam ayat al-Quran yang lain. Perkataan itu tidak datang kecuali dalam keadaan wujudnya pencerobohan yang mesti ditangkis dan ditentang. Sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 190 yang bermaksud: "Dan kalian perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian dan janganlah kalian menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh."

Perkataan al-mufa'alah atau al-musharakah dalam ayat ini adalah 'qatilu' (kalian perangilah). Ia adalah tindak balas kepada pihak penceroboh seperti yang dapat dilihat pada perkataan 'yuqatilunakum' (orang-orang yang memerangi kalian). Ayat terbabit menunjukkan bahawa perintah kepada orang Islam untuk berperang adalah dengan syarat selepas pencerobohan orang musyrikin yang ingin berperang.

Ayat itu juga menunjukkan larangan kepada orang Islam untuk melakukan pencerobohan dan melampaui batas terhadap golongan musyrikin yang tidak memerangi orang Islam.

Berdasarkan ini, selari dengan pertuturan dalam Bahasa Arab, contohnya 'lauqatilanna man i'tada 'ala mali' (saya benar-benar akan memerangi sesiapa yang menceroboh ke atas hartaku). Ia dalam situasi di mana selepas ada pihak lain yang datang menceroboh ke atas hartanya dan ia bertindak balas berjuang mempertahankan hartanya.

Namun, ungkapan 'laaqtulanna man i'tada 'ala mali' menunjukkan sebaliknya yakni mengandungi makna penceroboh dan seumpamanya, jadi dalam konteks ini, ia tidak sesuai diungkapkan sedemikian dalam pertuturan Bahasa Arab.

Begitu juga dalam konteks perbahasan hadis 'umirtu an uqatila al-nas' yang mengandungi makna penentangan dan pembelaan untuk menangkis pencerobohan. Rasululullah SAW tidak menggunakan ungkapan 'umirtu an aqtula al-nas' yang mengandungi makna menceroboh dan seumpamanya.

Al-'Allamah Kamal al-Din bin Hamzah al-Husaini (m. 1120H) menyebut dalam kitabnya al-Bayan wa al-Ta'rif fi Asbab Wurud al-Hadith al-Sharif mengenai sabab al-wurud al-hadith (sebab ungkapan hadis ini dituturkan oleh Rasulullah SAW). Beliau menukilkan perkataan Imam al-Qurtubi (m. 671H) bahawa ungkapan ini dituturkan ketika Rasulullah SAW memerangi golongan penyembah berhala (qitalihi li ahl al-authan) yang tidak berpegang dengan tauhid. Cuba perhatikan bahawa Imam al-Qurtubi menggunakan ungkapan 'qital' yang mengandungi maksud al-mufa'alah atau al-musharakah yakni bertindak balas memerangi golongan penyembah berhala selepas mereka menyerang dan menceroboh ke atas umat Islam.

Makna yang mendalam pada kedua-dua perkataan ini sudah difahami dan disedari dengan kukuh oleh ulama dan fuqaha Islam. Berdasarkan asas kefahaman pada aspek Bahasa Arab dan kefahaman yang sahih terhadap hadis, mereka menyusun hukum-hukum fiqh.

Contohnya, berkaitan masalah hukum membunuh seseorang yang meninggalkan solat dengan sangaja, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (m. 852H) menjelaskan hal ini dalam kitab syarah hadisnya iaitu Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari.

Menurutnya, menggunakan dalil hadis hukum bunuh bagi sesiapa yang meninggalkan solat, terdapat perbincangan mengenainya berkenaan perbezaan lafaz 'uqatilu' dan 'aqtulu'.

Imam Ibn Daqiq al-'Id (m. 702H) dalam kitab Ihkam al-Ahkam Sharh 'Umdah al-Ahkam sangat mengingkari sesiapa yang menggunakan hadis ini sebagai dalil untuk menghukum bunuh bagi sesiapa yang meninggalkan solat.

Menurutnya, keharusan memerangi (al-muqatalah) tidak melazimkan keharusan membunuh (al-qatl). Ini kerana, al-muqatalah itu adalah mufa'alah yang melazimkan berlaku al-qital daripada kedua-dua pihak, manakala al-qatl tidak sedemikian.

Imam al-Baihaqi (m. 458H) meriwayatkan daripada Imam al-Syafie (m. 204H) bahawa al-qital itu bukan al-qatlu dan dihalalkan untuk al-qital, tetapi tidak dihalalkan untuk al-qatlu. Maka, al-muqatalah dan al-qital dibenarkan manakala al-qatlu tidak dibenarkan.

Setakat ini jelas bahawa, antara disiplin ilmu yang penting untuk dirujuk atau dipelajari supaya hadis kelapan Hadis 40 Imam al-Nawawi dapat difahami dengan betul selain ilmu bahasa Arab dan 'Ulum al-Quran ialah 'Ulum al-Hadith susunan ulama aliran Ahli Sunah Waljamaah.

Bahagian akhir berkenaan penjelasan mengenai hadis kelapan daripada kitab Hadis 40 Imam al-Nawawi akan menyusul dengan fokus kalimah 'al-nas'.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/09/1011748/pemurnian-makna-kalimah-uqatila

Pages: [1]
View full version: Pemurnian makna kalimah 'uqatila'


ADVERTISEMENT