Raline Publish time 13-10-2023 07:31 AM

Islam memandu kehidupan sejahtera

Islam memandu kehidupan sejahtera



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/TSAIKBERNAM1_1697065256.jpg
SEMUA pihak seharusnya bersepakat dalam menjayakan agenda membentuk generasi warganegara yang berakhlak tinggi. FOTO Arkib BERNAMA


Manusia memerlukan bimbingan agama agar kehidupan dunia dapat dilalui atas landasan yang benar sepertimana dikehendaki oleh Allah. Semakin kukuh pegangan agama, maka semakin elok budi pekerti dan tabiat budaya hidup seseorang. Begitulah sebaliknya, apabila seseorang itu jauh daripada kehidupan beragama yang benar, maka pelbagai paparan gaya hidup yang menjelikkan pasti akan diperlakukan tanpa timbulnya rasa berdosa.

Alhamdulillah kerana berkat kemudahan dalam sektor pendidikan baik dalam aliran arus perdana mahupun berteraskan kepada pengajian agama, rakyat mendapat bimbingan yang sempurna. Pendidikan agama Islam dan moral yang diajarkan di sekolah juga dilihat memberikan impak yang semakin baik dalam melahirkan warganegara yang berakhlak mulia.

Kita mengharapkan semua pihak yang berkenaan dalam sektor pendidikan baik di pihak pemerintah mahupun pihak swasta mengorak langkah dinamik dalam merencanakan kelahiran warganegara yang memiliki adab dan akhlak yang terpuji. Kita bukan sahaja menginginkan supaya anak-anak kita yang bakal mewarisi bumi Malaysia yang kita cintai dengan pemilikan ilmu pengetahuan duniawi yang hebat semata-mata.

Hal ini kerana ilmu adab dan akhlak juga perlu berjalan seiring dengan ilmu duniawi yang lain. Sebarang ketempangan dalam dua segi itu, akan menimbulkan kesan yang parah dalam kelangsungan hidup masyarakat pada masa akan datang.

Keadaan akhlak generasi semasa adalah penanda aras kepada situasi masyarakat pada masa akan datang. Andainya buruk akhlak dan tabiat pada masa sekarang, maka kita dapat membayangkan keadaan masyarakat pada masa akan datang. Sebab itulah kita berasa amat bimbang apabila timbulnya sesuatu kes salah laku moral dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda. Kita semua tentu tidak mahu mewariskan bumi bertuah ini kepada generasi rakyat yang berakhlak rendah kerana setinggi manapun pencapaian pembangunan fizikal pada waktu mendatang tidak akan memberikan sebarang makna tanpa adanya akhlak dan adab budi terpuji.

Sesungguhnya, kedudukan aspek akhlak diletakkan pada ranking yang tertinggi. Hinggakan seseorang yang kuat amalan agamanya, tetapi sekiranya tidak berakhlak ia tetap idak diredai Allah. Imam Ahmad ada meriwayatkan satu hadis yang Rasulullah SAW bersabda: "Betapa ramai orang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Dan betapa ramai yang solat malam tetapi hakikatnya dia sekadar berjaga malam."

Mengapakah berlaku hal yang sedemikian? Tidak lain kerana akhlak mereka yang rendah yang tidak selari dengan kehendak agama. Beramal kepada Allah cukup tinggi adab dan akhlaknya, namun di luar ibadah semasa berinteraksi sesama manusia lain mereka tunjukkan akhlak yang keji. Umpat sana, keji sini. Gosip si fulan, fitnah si fulan. Adakah ini akhlak orang yang beragama?

Ibnu Majah pula ada merekodkan sebuah hadis yang mana inti patinya juga memperkatakan persoalan akhlak. Hadis itu menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Akhlak yang buruk itu merosakkan amal kebajikan seperti cuka yang merosakkan madu, dan seperti api yang membakar kayu bakar."

Manakala Anas bin Malik pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW begitu kagum dan memuji seseorang yang berakhlak terpuji meskipun ibadah si fulan itu sederhana sahaja. Rasulullah SAW menegaskan: "Sesungguhnya seseorang hamba akan mencapai kedudukan dan darjat yang paling tinggi di akhirat kerana akhlaknya yang baik, meskipun dia lemah dalam ibadah." (Hadis riwayat At-Tabrani)

Kita sewajarnya mengambil berat persoalan akhlak kerana sejarah jelas memberikan bukti betapa apabila runtuhnya akhlak rakyat dalam sesebuah masyarakat atau tamadun itu, maka lambat laun akan meruntuhkan masyarakat tersebut. Buktinya, baca dan hayati sejarah keruntuhan Empayar Rom dan Parsi. Tidakkah dua empayar atau kerajaan itu begitu kukuh dengan kemegahan tamadun yang serba maju dalam segenap lapangan?

Namun, apabila kedua-dua pihak, iaitu pihak pemerintah dan rakyat jelata bergelumang dengan kemungkaran dan tonjolan akhlak yang menjejekkan, maka Allah ranapkan kedua-duanya lalu diangkat-Nya Islam sebagai peneraju kepada ketamadunan dunia. Harap-harap kita dapat membaca kisah kemusnahan masyarakat Bandar Pompei di Rom yang begitu gah pada abad ke-8 sebelum Masihi yang mana apabila wabak penyakit sosial bermaharajalela, maka Allah turunkan azab yang amat dahsyat. Kesan-kesan tinggalan kemusnahan masyarakat tersebut masih dapat dilihat manusia pada hari ini? Tetapi adakah manusia moden pada hari ini insaf dengan apa yang berlaku itu?

Manakala di dalam al-Quran pula Allah juga ada merakamkan beberapa kisah figura atau tokoh-tokoh silam seperti firaun, Qarun, masyarakat Nabi Luth, masyarakat kaum Thamud dan beberapa yang lain lagi untuk kita hayati dan jadikan bahan keinsafan bahawa kita mesti hidup dalam acuan beragama yang benar dengan tampilan akal budi akhlak yang diredai-Nya.

Demikian juga halnya yang telah berlaku pada ketamadunan Islam pada era pemerintahan kerajaan Bani Umayyah, Abbasiyah, Turki Uthmaniyah mahupun di Andalusia (Sepanyol). Kemegahan dan keagungan tamadun dapat dijayakan dengan setingginya semasa masyarakat dan pimpinan negara berpegang kukuh kepada ajaran Islam dengan akhlak yang terbaik.

Namun, lihatlah kesannya apabila pemerintah dan rakyat bawahan sudah hanyut dalam kancah gejala sosial dan meminggirkan akhlak Islam, maka keagungan yang mereka capai berkecai. Yang tinggal hanya kenangan yang menjadi bahan rujukan koleksi sejarah sahaja.

Jadi, ada kemunasabahan buat kita untuk berasa bimbang dengan apa yang berlaku dalam kalangan sesetengah generasi muda hari ini. Peristiwa pesta maksiat yang diadakan menimbulkan tanda tanya di manakah mereka letakkan pegangan agama mereka sehingga sanggup berbuat sewenang-wenang angkara mungkar yang jelas amat dimurkai Allah.

Tentu, situasi seperti itu membuatkan kita berasa bahawa aspek akhlak dan moral perlu dijadikan agenda ulung dalam sistem pendidikan di negara kita. Semua pihak seharusnya berani tampil mencorak pendekatan dan saling bersepakat dalam menjayakan agenda membentuk generasi warganegara yang berakhlak tinggi.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/10/1019050/islam-memandu-kehidupan-sejahtera

Pages: [1]
View full version: Islam memandu kehidupan sejahtera


ADVERTISEMENT