Raline Publish time 13-10-2023 07:29 AM

Beri penjelasan kukuh kefahaman & pegangan ASWJ

Beri penjelasan kukuh kefahaman & pegangan ASWJ
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/uamaswjj1_1697151645.jpg
PEGANGAN ASWJ menjadi anutan majoriti umat Islam di dunia. FOTO Arkib NSTP


Penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini adalah satu usaha berterusan supaya umat Islam terus kukuh berpegang kepada manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ).

Usaha berkenaan seharusnya dijadikan contoh oleh negeri lain dalam memberi penjelasan serta kefahaman yang sebenar tentang pegangan ASWJ yang menjadi anutan majoriti umat Islam di dunia ini.

Daulat Tuanku, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana prihatin tentang keutamaan serta kepentingan berpegang kepada akidah sebenar yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan akal yang sahih.

Patik dan seluruh rakyat jelata melahirkan rasa syukur dan sukacita tidak terhingga di atas titah Duli Tuanku Sultan Perak yang bertegas memperkasakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) arus perdana khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan sempena Muzakarah Sultan Nazrin Shah.

Akidah ASWJ yang sebenar ialah berteraskan manhaj Imam Abu Hassan Al-Ashaari dan Abu Mansur Al-Maturidi.

Amalan fiqh berdasarkan kepada mazhab al-Syafie dan meraikan mazhab muktabar yang lain serta penghayatan kerohanian berasaskan kepada tarekat tasawuf muktabar seperti al-Junaidi, Al-Ghazali, Al-Naqshabandi dan lain-lain.

Manhaj ini dianuti oleh jutaan ulama Islam sepanjang zaman dengan pelbagai penguasaan disiplin ilmu.

Bahkan ia terbukti berupaya membangunkan modal insan manusia berkualiti dan merupakan momentum utama dalam memperkasakan tamadun Islam.

Ia juga satu-satunya anti virus yang paling berkesan untuk membendung gejala jenayah, ajaran sesat, radikal, ekstremis dan terroris dalam masyarakat.

Bahkan menjadi wacana spritual yang mampan dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia dan memiliki kompetensi yang tinggi. Ia sesuai dengan pelan transformasi Al-Falah Malaysia Madani.

Pegangan ASWJ ini yang berteraskan kepada manhaj Imam Abu Hassan Al-Ashaari dan Abu Mansur Al-Maturidi adalah sebenar pegangan sekali gus menjadi 'senjata' ampuh untuk mendepani sebarang bentuk fahaman songsang serta radikal.

Patik amat berharap agar usaha memperkasakan fahaman ASWJ dan membendung ajaran sesat-radikal di negeri Perak dimuktamadkan secara konsisten melalui:

1. Memaktubkan definisi Islam ASWJ secara terperinci dalam Undang-undang Tubuh Negeri, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri serta fatwa. Tidak keterlaluan jika jawatan Menteri Besar pun hendaklah terdiri dalam kalangan Muslim ASWJ.

2. Membina modul atau menyemak semula modul pengajian agama di masjid dan surau, sekolah, kolej atau universiti agar berteraskan kepada ajaran ASWJ.

3. Membuat saringan kepada semua para pemegang tauliah atau penceramah jemputan seluruh negeri. Manakala pensyarah juga hendaklah menepati kriteria ASWJ sama ada secara bersemuka mahupun online.

4. Melaksanakan program perkaderan secara bersepadu dan menyeluruh bagi memperkasakan fahaman ASWJ dan melahirkan ulama pelapis.

5. Mengadakan hubungan strategik dengan Nahdatul Ulama, Universiti Al-Azhar Mesir, Pusat Fatwa Jordan dan Maghribi bagi memperkasakan fahaman ASWJ tempatan.

6. Memperbanyakkan bahan-bahan penerbitan berkualiti ASWJ dan menyekat semua unsur penerbitan ajaran sesat seperti Syiah, Wahhabi, Islam Liberal, Hizbut Tahrir, Ajaran Si Hulk dan lain-lain sama ada secara manual atau online.

7. Meminda Enakmen Pentadbiran Islam supaya satu hukuman yang keras dan tegas boleh dikenakan ke atas mana-mana individu yang menyebarkan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran ASWJ.

8. Menubuhkan Yayasan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dinaungi Tuanku atau kerabat Di Raja Perak bagi menyelaras semua program berkaitan pemerkasaan ASWJ di Negeri Perak.

Daulat Tuanku! Semoga kerajaan Tuanku bertambah makmur dan barakah asbab memperjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bahkan negeri Perak benar-benar berada dalam keredaan Allah SWT. Dirgahayu Tuanku. Barakallahu fikum.

Penulis Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/10/1019428/beri-penjelasan-kukuh-kefahaman-pegangan-aswj

Pages: [1]
View full version: Beri penjelasan kukuh kefahaman & pegangan ASWJ


ADVERTISEMENT