Raline Publish time 13-10-2023 07:28 AM

Contohi perjuangan Nabi Muhammad SAW

Contohi perjuangan Nabi Muhammad SAW


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/malaysatmm1_1694041220.jpg
BERSEMPENA dengan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 2023 marilah umat Islam mengkaji dan mengambil pengajaran yang baik dari sirah perjuangan Nabi SAW. FOTO Arkib NSTP


Minggu lalu, kita semua sudah menyambutkemerdekaan Malaysiapada 31 Ogosdengan tema 'Malaysia MADANI; Tekad Perpaduan Penuhi Harapan'. Marilah sama-sama seluruh umat Islam mengambil faedah daripada perjuangan Rasulullah SAW ke bumi sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Banyakibrah (pengajaran) bermula daripada kelahiran Nabi Muhammad SAW sehingga kepada kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW membebaskan kaumnya daripada cengkaman minda dan amalan yang diwarisi melalui penyelewengan dan sikapasabiyah(ketaasuban berpuak) masyarakat jahiliyah yang sepatutnya dijadikan peringatan buat kehidupan manusia. Melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Rasulullah bukan perkara mudah apatah lagi jika perjuangan itu perlu dilalui dengan onar dan duri.

Perjuangan Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun selepas dilantik menjadi Rasul telah menempuh satu pengalaman yang sangat sukar sehinggakan nyawa Nabi SAW sentiasa diancam dalam sejarah kehidupan Baginda SAW. Bahkan Nabi SAW juga sentiasa mendapat tekanan yang amat dahsyat dan hebat daripada kalangan musyrikin Makkah dan pengkhianatanmunafiqin Madinah sehingga membawa kepada kegalauan dan kerosakan serta mengganggu gugat kekuatan dan kestabilan keharmonian yang dipandu melalui ajaran agama Islam. Namun Allah SWT sentiasa melindungi serta memberikan bantuan kepada kekasih-Nya sehinggalah Rasulullah SAW berjaya membebaskan manusia daripada kegelapan menuju kepada cahaya petunjuk Ilahi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka adalah Thaghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah ayat 257).

Dengan kekuatan mempertahankan negara didasari kekuatan keyakinan serta semangat juang pahlawan bangsa daripada kalangan tokoh kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu berjaya membebaskan negara daripada belenggu penjajah dan mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dengan permufakatan semua kaum sehingga terbentuknya sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Dengan kemasukan Sabah dan Sarawak menjadikan Malaysia mempunyai sejarah yang unik dengan rakyatnya terdiri pelbagai etnik.

Ini menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang sentiasa diperhatikan seluruh dunia bagi menggagaskan perpaduan nasional dengan menjadikan slogan Malaysia Madani sebagai usaha mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Sempena mengambil semangat memperingati kemerdekaan tanah air di dalam negara kita, marilah kita semua umat Islam menghayati ketokohan dan semangat juang dipamerkan Rasulullah SAW kepada kita. Sejarah mencatatkan bagaimana usaha Nabi SAW berjaya memberi sumbangan besar terutama memerdekakan bagi seseorang hamba daripada terikat dengan cengkaman manusia kepada rasa perhambaan yang sebenar iaitu mengabdikan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT. Berapa ramai yang berjaya dibebaskan serta dijadikan merdeka daripada sebarang bentuk perhambaan dan penindasan manusia.

Justeru, setiap orang bebas merdeka dan tidak menjadi hamba kepada manusia setelah ajaran Islam dianuti dengan sempurna. Hakikat sebenarnya, kita semua sama di sisi Tuhan namun yang membezakan kita adalah iman, amal dan takwa.

Bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu." (Surah al-Hujurat ayat 13).

Perjuangan Rasulullah SAW menentang kezaliman dan penyelewengan yang berakar tunjang dalam pemikiran kaumnya sememangnya dirakamkan melalui al-Quran yang banyak menolak sebarang unsur kezaliman dan penyelewengan serta adu domba fitnah yang meruntuhkan tamadun ummah. Hal ini menjadi cabaran besar buat Rasulullah SAW di dalam melaksanakan kewajiban mengangkat syiar Islam dan memperbaiki akhlak umat manusia yang kian tersisih dari petunjuk sebenar agama Islam.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW berjaya menyelamatkan serta memerdekakan manusia daripada jalan syariat yangbathil(sesat) kepada jalan syariat yang dikehendaki Allah SWT. Rasulullah SAW berjaya mengeluarkan manusia daripada amalan syirik serta akhlak buruk di dalam pemikiran manusia. Ini dapat dilihat kepada intipati ajaran Islam bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa" - (Surah al-An'aam ayat 153).

Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menganugerahkan kepada manusia seorang Rasul yang menjadi penutup bagi sekalian rasul iaitu Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan dan teladan sepanjang zaman.

Hal ini bertujuan bagi memandu umat manusia mencontohi dan mengambil panduan dalam kehidupan di dunia ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzaab ayat 21).

Sebagai kesimpulan, bersempena dengan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 2023 marilah umat Islam mengkaji dan mengambil pengajaran yang baik dari sirah perjuangan Nabi SAW. Memerdekakan pemikiran dan amalan buruk mampu mengubah tingkah laku buruk manusia kepada akhlak yang soleh dengan kesungguhan dan komitmen yang padu bagi menghilangkan sikapmazmumah(tercela) yang ada di dalam diri manusia sehingga menyebabkan sebahagian manusia tidak mampu membezakan mana yang benar dan mana yang dusta.

Namun, semua ini berjaya dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga memerdekakan manusia daripada cengkaman kegelapan kepada rahmat cahaya Ilahi. Akhir kalam, marilah kita semua umat Islam menjadikan perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai simbol kemerdekaan sebenar yang berjaya menerapkan makna hakiki erti kemerdekaan kepada umat manusia untuk dijadikan panduan serta semangat di dalam memelihara nikmat kemerdekaan yang diperolehi. Semoga perjuangan Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi pendorong untuk terus melonjak kecemerlangan ummah di dunia dan di akhirat.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/09/1007130/contohi-perjuangan-nabi-muhammad-saw

Pages: [1]
View full version: Contohi perjuangan Nabi Muhammad SAW


ADVERTISEMENT