mattzzx Publish time 12-10-2023 10:41 AM

Shuhaily buka tawaran jawatan 'sensitif' JSJ, diaudit setahun sekali

Kuala Lumpur: Jawatan-jawatan 'sensitif' di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibuka kepada mana-mana pegawai yang berminat dan perlu melalui tapisan termasuk melakukan pengisytiharan harta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, antara jawatan 'sensitif' itu ialah Pegawai Risikan dan Operasi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan pegawai di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).

Beliau berkata, mereka boleh mengemukakan surat permohonan dengan borang pengisytiharan harta untuk ditapis terlebih dahulu.

"Saya membuat tawaran terbuka, pegawai dan anggota yang ingin menjawat jawatan sensitif itu sila kemuka surat permohonan.

"Audit berterusan akan dilakukan kepada mereka yang ada dalam unit sensitif ini yang akan dilakukan setahun sekali," katanya pada sidang media, hari ini.


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MOHD_SHUHAILY_MOHD_ZAIN_1697027122.jpg
MOHD Shuhaily ketika sidang media di Bukit Aman. FOTO Amirudin Sahib

Mengulas berhubung video ucapannya yang tular di media sosial, Mohd Shuhaily berkata, beliau hanya menyambung saranan yang dikemukakan Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negara sebelum ini.

"Niat saya memuat naik (video) di Tik-Tok jabatan kerana saya hanya dapat berjumpa dengan 130 pegawai sedangkan saya ada 10,000 anggota dan pegawai dalam jabatan ini.

"Apabila di muat naik, masyarakat memberikan respons, ini menunjukkan berapa ramai yang tahu (perkara ini) cuma orang tidak bercakap perkara itu.

"Sekiranya mereka mampu maka berikan sebab ia mampu, saya tidak melarang kalau beli kereta dengan sumber kewangan yang sah, siapa saya untuk melarang menggunakan kereta berkenaan," katanya.

Sabtu lalu, satu klip video Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, tular di media sosial selepas dimuat naik jabatan itu.

Majlis amanat itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh negara.

Klip video majlis itu yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM memaparkan Mohd Shuhaily memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.

https://www.hmetro.com.my/utama/2023/10/1018932/shuhaily-buka-tawaran-jawatan-sensitif-jsj-diaudit-setahun-sekali
Pages: [1]
View full version: Shuhaily buka tawaran jawatan 'sensitif' JSJ, diaudit setahun sekali


ADVERTISEMENT