mattzzx Publish time 5-10-2023 05:21 PM

'Ini bukanlah hari kami'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SUKAN_ASIA_2022_SKUASH_1696493616.jpg
REAKSI Aifa selepas tewas pada pusingan akhir beregu campuran. FOTO Asyraf Hamzah

Hangzhou: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman mengakui beberapa kesilapan dilakukan khususnya pada set kedua membuatkan dia dan Syafiq Kamal terpaksa akur sebagai pemenang pingat perak bagi acara beregu campuran di Sukan Asia, sebentar tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu teresak-esak ketika ditemui selepas perlawanan di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou yang jelas menggambarkan perasaan dihadapinya selepas gagal menghadiahkan satu lagi pingat emas buat kontinjen negara.

Namun di sebalik tangisan itu, Aifa tetap gembira dengan perak dimenanginya itu yang secara tidak langsung membuatkan dia menjadi pemenang pingat berganda selepas meraih emas dalam acara berpasukan wanita.

"Kami gembira dengan persembahan hari ini. Tetapi saya melakukan banyak kesilapan pada set kedua sehingga menyaksikan kami ketinggalan sangat jauh (9-2) tetapi kami cuba bangkit dan dapat mendahului 10-9.

"Cuma kami tidak dapat menutup perlawanan dan itulah yang membuatkan saya kecewa. Ini bukanlah hari kami tetapi saya gembira dengan pingat perak ini," katanya.

Terdahulu, gandingan Syafiq-Aifa tewas 2-0 di tangan gandingan India, Sandhu Harinder Pal Singh-Karthik Dipika Pallikal pada final beregu campuran.

Saingan sengit ditunjukkan apabila kedua-dua gandingan saling mengejar mata namun gandingan India menamatkan set pertama dengan kemenangan 11-10.

Set kedua bersambung, gandingan negara ketinggalan agak jauh 3-9 namun berjaya mengejar sehingga mendahului 10-9 namun akhirnya tunduk 10-11 dalam masa 35 minit.

Sementara itu, Syafiq menyifatkan faktor pengalaman menjadi antara pemisah antara gandingan negara dengan gandingan India yang turun selaku pilihan utama kejuaraan itu.

"Sedikit kecewa kerana kita sudah berikan 100 peratus dalam gelanggang dan bekerja keras selama dua tahun untuk bermain beregu campuran.

"Saya bangga dengan usaha ditunjukkan dan semangat kita yang cuba untuk mengejar selepas ketinggalan jauh. Mental kami kekal kuat untuk terus berjuang mendapatkan mata.

"Tetapi kita tidak bernasib baik dari segi pengalaman untuk menangani tekanan di hujung permainan dan mereka lebih baik dalam hal ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/10/1016775/ini-bukanlah-hari-kami
Pages: [1]
View full version: 'Ini bukanlah hari kami'


ADVERTISEMENT