Raline Publish time 3-10-2023 12:25 PM

Wanita lebih berisiko hidap demensia

Wanita lebih berisiko hidap demensia


https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/09/3sssssscxczsss-1536x911.jpg
Berdasarkan kajian, lebih 8.5 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas menghidap demensia. – Gambar hiasan


BAGI mereka telah lanjut usia, Alzheimer merupakan satu penyakit yang berisiko untuk dihidapi.

Penyakit ini boleh menyebabkan mereka lupa banyak perkara dalam kehidupan.

Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Selangor, Dr. Teh Hoon Lang berkata, Alzheimer merupakan sejenis demensia (nyanyuk) yang lazim berlaku.

Menurutnya, demensia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal, sebaliknya ia adalah gangguan kompleks terhadap fungsi otak yang mampu menjejaskan kehidupan seharian.

“Ia adalah gangguan otak progresif yang berlaku apabila terdapat pembentukan protein tidak normal pada otak sehingga menyebabkan daya ingatan, pemikiran, dan kemahiran menaakul seseorang semakin merosot,” katanya.

Tambahnya, pengesanan dan pemahaman awal adalah kunci untuk mengemudi perjalanan yang mencabar ini.

Berdasarkan beberapa kajian, lebih 8.5 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas menghidap demensia. Lazimnya, ia dihidapi oleh golongan wanita.

Keadaan neurologi ini akan menjadi semakin merosot dari semasa ke semasa. Namun begitu, bukan semua keadaan demensia disebabkan oleh penyakit Alzheimer.

Terdapat penyakit lain yang turut menyumbang kepada terjadinya demensia.

Antaranya adalah demensia vaskular, demensia campuran, demensia ‘lewy body’, Parkinson dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dr. Hoon Lang menjelaskan, tanda-tanda awal penyakit demensia boleh bersifat ringan dan mungkin berlaku tanpa disedari.

Ramai orang mungkin beranggapan gejala ini sebagai sebahagian daripada proses penuaan biasa.

Bagaimanapun, jika gejala mula menjejaskan kehidupan seharian seseorang, ia boleh ditafsir sebagai tanda amaran demensia.

“Antara petanda awal demensia adalah hilang ingatan terkini, misalnya gagal mengingati peristiwa atau pertemuan yang baru berlaku.

“Sukar merancang atau menyelesaikan masalah seperti mengikut resipi, menguruskan kewangan atau mengendali ubat-ubatan.

“Mereka juga sukar menyelesaikan tugasan yang biasa dilakukan seperti memasak, memandu kereta atau menggunakan peralatan,” jelasnya.

Tambahnya, pesakit juga keliru masa dan tempat, di mana mereka mungkin hilang jejak tarikh, masa atau keberadaan semasa.

Mereka juga berisiko tersesat di tempat yang biasa dikunjungi.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/09/1W1A2152-AI-LRsss.png
DR. HOON LANG


Selain itu, pesakit sukar memahami imej visual dan perhubungan ruang seperti kesukaran memahami peta atau mengikut arah. Mereka juga mungkin menghadapi masalah menilai jarak atau menentukan saiz objek.

Sementara itu, tanda-tanda lain termasuk gangguan bahasa seperti kesukaran mencari perkataan yang betul atau menggunakan perkataan salah semasa berkomunikasi.

Individu yang menghidap demensia mungkin kerap tersalah letak sesuatu benda dan lupa di mana mereka meletakkannya.

Mereka juga mungkin mengalami kesukaran menjejaki semula langkah.

Daya pertimbangan yang merosot atau lemah menyebabkan mereka mungkin membuat keputusan yang tidak betul. Misalnya, memberi sejumlah wang yang banyak atau tegas hendak memandu apabila mereka tidak lagi berkeupayaan melakukannya.

Tarik diri daripada melakukan kerja atau aktiviti sosial yang pernah mereka gemari.

“Mereka juga mungkin menjadi terasing dan mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain.

“Perubahan dalam emosi dan tingkah laku seperti menjadi murung, cemas, atau mudah marah.

“Pesakit berpotensi mengalami perubahan personaliti seperti menjadi lebih pasif atau mengasingkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Hoon Lang, berkongsi beberapa faktor risiko yang menyumbang kepada terjadinya demensia.

Ujarnya, faktor yang dikenal pasti adalah fizikal tidak aktif iaitu kurang melakukan senaman, merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan.

“Faktor risiko lain adalah kecederaan atau trauma kepala, misalnya disebabkan kemalangan, bersukan atau terjatuh.

“Jarang berhubungan sosial. Orang ramai terutamanya warga emas sangat digalakkan untuk kekal aktif secara sosial seperti menyertai kelab atau kumpulan komuniti.

“Kurang atau berpendidikan rendah pada peringkat awal kehidupan boleh menjejaskan rizab kognitif,” terangnya.

Tambahnya, obesiti terutamanya pada pertengahan umur boleh menjadi salah satu faktor risiko mendapat demensia.

Mengekalkan berat badan yang sihat melalui diet dan senaman boleh membantu mengurangkan risiko berkenaan.

Tekanan darah tinggi juga menyumbang kepada demensia.

Jadi, mengawal tekanan darah dengan baik boleh membantu mengurangkan risiko demensia.

Diabetes terutamanya diabetes jenis dua diketahui sebagai faktor risiko yang boleh menyebabkan demensia pada masa akan datang.

Pengurusan diabetes yang berkesan adalah penting untuk kesihatan keseluruhan dan mengurangkan risiko demensia.

Kemurungan juga dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia. Ia mungkin berlaku sebelum atau selepas demensia.

“Kurang pendengaran atau individu yang kehilangan pendengaran mempunyai risiko demensia yang jauh lebih tinggi.

“Alat bantu pendengaran boleh membantu mengurangkan risiko ini.Menangani masalah pendengaran penting dalam usaha mencegah demensia,” katanya.

Oleh itu, Dr. Hoon Lang menekankan kepentingan pengesanan awal penyakit demensia.

Terangnya, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, pemeriksaan kognitif rutin tidak disyorkan untuk semua orang.

Jelasnya, ia disarankan kepada golongan berisiko sahaja.

“Bagaimanapun, saringan kognitif ini tidak 100 peratus tepat sepenuhnya.

“Oleh itu, penting untuk mendidik orang ramai tentang tanda-tanda amaran awal demensia,” katanya.

“Sesetengah keadaan yang seakan-akan demensia seperti kekurangan vitamin B12.

“Kekurangan hormon tiroid berpotensi untuk sembuh jika dirawat pada peringkat awal,” katanya,

Tambahnya, penting untuk berjumpa doktor dan membuat penilaian secepat mungkin kerana diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mencegah atau melambatkan kerosakan otak.

“Usaha untuk mendiagnosis dan mengurus demensia adalah sangat mencabar bagi pesakit, penjaga dan pengamal kesihatan profesional.

“Cara rawatan bukan ubat seharusnya menjadi pendekatan pengurusan utama yang perlu dipelajari oleh penjaga dan pengamal kesihatan bagi mempertingkatkan kualiti hidup pesakit demensia,” katanya.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/09/29/wanita-lebih-berisiko-hidap-demensia/

green~tea Publish time 3-10-2023 10:20 PM

Kawan aku ada keturunan dementia...

Dr cakap, tanda awal dementia... bila masuk 40 an... ko akan lupa pasal mimpi2.. seolah2 ko tido takde mimpi, sbb ko tak ingat sbnrnya

Page88 Publish time 7-10-2023 03:17 AM

Not surprised at all.

A-Are Publish time 19-10-2023 01:05 PM

i olls dr kecik selalu pelupa...pergi sekolah pon boleh salah bawak bag...stokin pakai sebelah lain..g sekolah agama lupa pakai tudung dan macam2 lg...belum tua lg tu
Pages: [1]
View full version: Wanita lebih berisiko hidap demensia


ADVERTISEMENT