Raline Publish time 30-9-2023 08:14 AM

Jadikan setiap kisah nahas ngeri sebagai iktibar

Jadikan setiap kisah nahas ngeri sebagai iktibar
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0903rsaddin_1693778412.jpg
SAMA-SAMALAH kita berusaha supaya jalan raya bukan menjadi medan nahas dan menyedihkan keluarga tersayang.



Kejadian kemalangan di jalan raya semakin banyak berlaku. Tidak tergamak kita menyaksikan kejadian kemalangan yang ada sesetengahnya meragut nyawa seluruh ahli keluarga. Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Sudah tentu, kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan di jalan raya meninggalkan kesan psikologi yang cukup mendalam. Sewajarnya setiap setiap kisah dan cerita kemalangan ngeri yang meragut nyawa memberikan kita pengajaran agar sentiasa menjadi pengguna jalan raya yang berhati-hati untuk mengelak kejadian serupa.

Kita juga sedia memahami ajal maut sudah ditetapkan tarikhnya, tempatnya dan bagaimana caranya oleh Allah, namun sebagai hamba-Nya yang dikurniakan minda sepatutnya kita sentiasa menggunakan nikmat berfikir itu untuk berusaha menghindari sesuatu yang tidak diingini. Mungkin beberapa panduan berikut boleh kita amalkan sebagai ikhtiar. Antaranya ialah:

1. Sabar

Apabila kita memandu sesebuah kenderaan di jalan raya, sikap sabar menjadi teras utama yang mesti dimiliki. Tanpa adanya sikap ini, jiwa kita akan sentiasa dilanda kegelojohan dan kegopohan untuk sampai ke sesuatu destinasi yang dituju. Jadi, cubalah mantapkan sedalam-dalamnya sikap bersabar dan sentiasa berhati-hati semasa memandu, insya-Allah pemfokusan terhadap pemanduan dapat dimaksimum. Apatah lagi semasa kita balik pulang ke kampung halaman untuk berhari raya atau bercuti ke sesuatu destinasi nilai bersabar dan berhati-hati sangat diperlukan kerana jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya akan sentiasa sesak. Jangan kerana hendak cepat sampai ke kampung halaman, kenderaan yang sarat dengan ahli keluarga kita pecut dengan laju tanpa memikirkan keselamatan. Apa yang nampak di mata, hanyalah ibu, ayah dan kaum kerabat di kampung untuk berhari raya. Jika bercuti pula pada bulan lain pula, tergambar pula keseronokan di destinasi yang ingin kita tuju.

Mengapakah kita sukar menerapkan sikap bersabar di jalan raya sedangkan ketika itu kita berada dalam Ramadan dan sedang berpuasa yang nilai berkenaan mesti kita pupuk sepadat-padatnya. Rugilah kita kalau hanya setakat menahan lapar dan dahaga sahaja, sedangkan nilai sabar pun kita gagal untuk jadikan nilai peribadi!

2. Mengutamakan kepentingan orang lain

Ini satu lagi nilai personaliti dalaman yang sangat mulia. Semasa memandu kenderaan, nilai sahsiah peribadi seperti ini sangat dituntut. Dengan kata lain, kita wajar menjinakkan hati kita agar tidak berebut-rebut untuk 'menguasai jalan raya' sehingga boleh membawa kecelakaan kepada diri dan orang lain. Nilai ini juga dihikmahkan melalui amalan kita berpuasa Ramadan dan perlunya kita pamerkan semasa memandu.

Insya-Allah, apabila jiwa dan hati sentiasa bersedia untuk mengutamakan orang lain semasa memandu dan tidak terlalu gelojoh mengejar ruang di jalan raya, aspek keselamatan dapat difokuskan.

3. Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya

Siapa tidak gembira apabila memegang stereng kenderaan membawa ahli keluarga untuk pulang menemui ibu bapa atau sanak saudara di kampung berhari raya? Semua tentu berasa gembira sakan. Pun demikian, fikirlah dan utamakanlah keselamatan. Apa sahaja peraturan dan undang-indang jalan raya perlulah dipatuhi.

4. Memeriksa kenderaan sebelum pulang

Kenderaan perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum bergerak pulang ke kampung atau bercuti ke mana saja. Kita perlu memastikan segala-galanya dalam keadaan positif. Ini penting kerana perjalanan pulang dan dalam keadaan sesak di jalan raya, sebarang kemungkinan masalah pada kenderaan boleh membawa kepada kecelakaan. Jadi, ambillah cakna dengan mendalam akan aspek ini. Sebarang kerosakan mesti digantikan dan diperbaiki segera sebelum memulakan perjalanan. Sikap ambil mudah terhadap aspek ini akan mengundang padah. Pemeriksaan bahagian brek dan keadaan tayar menjadi tumpuan utama.

Kebanyakan kemalangan terjadi disebabkan dua bahagian itu kurang diberikan perhatian secara serius. Ini bukan bermaksud bahagian lain kurang penting, tetapi brek dan tayar menjadi faktor pemangkin kepada berkesannya sesuatu perjalanan.

5. Mulakan dengan Bismilah dan bacaan doa

Memohon keselamatan dengan bacaan Bismilllah dan doa sangat dianjurkan. Inilah usaha terbaik kita menyerahkan nasib kepada ketentuan Allah dan mengharapkan sepenuhnya pertolongan-Nya agar perjalanan kita dirahmati dan dilindungi.

Biasanya semasa memandu, kita akan pasang lagu hiburan untuk menghilangkan tekanan atau mengantuk. Tidak salah berbuat demikian. Masing-masing dengan pendekatan yang tersendiri. Namun demikian, alangkah indah dan syahdunya jiwa kita seandainya semasa memandu, kenderaan dipasangkan dengan bacaan ayat suci al-Quran ataupun lagu nasyid. Ini mungkin akan membawa impak positif yang akan sentiasa mententeramkan jiwa.

Mendengar bacaan al-Quran melalui kaset dan CD atau lagu nasyid akan menjadikan kita sentiasa ingatkan Tuhan, sekaligus akan mengurangkan sikap 'mazmumah' seperti gelojoh dan kurang sabar di jalan raya. Mereka yang tak pernah amalkan tip ini, saya nasihatkan cubalah lakukan. Insya-Allah jiwa dan perhatian kita semasa memandu sentiasa berada pada fokus titik yang betul.

6. Jangan memaksa diri apabila mengantuk

Jangan paksa diri dan cuba berlagak hero! Rasa mengantuk adalah lumrah manusia lebih-lebih lagi jika berada pada Ramadan ketika memandu dalam keadaan berpuasa. Jadi, apabila rasa mengantuk mula 'menyerang' kelopak mata, kita bersegeralah menghentikan kenderaaan dan berehatlah buat seketika. Carilah tempat yang bersesuaian seperti di hentian rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya. Berehat dan tenangkan fikiran dengan tidur buat seketika sebelum memulakan perjalanan semula. Insya-Allah, ini lebih bermakna daripada terus-terusan memandu dalam keadaan mata sudah layu dan kuyu.

Baginda Rasulullah SAW pernah ingatkan kita dengan pesannya: "Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan tidak boleh memudaratkan orang lain.' (Hadis Riwayat Ibnu Majah) Pesanan baginda itu sebenarnya boleh kita amalkan dan jadikan prinsip asas dalam kaedah pemanduan di jalan raya.

Akhir kata marilah kita bersama-sama jadikan diri kita pemandu yang berhemah demi keselamatan diri sendiri dan insan yang lain.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/09/1006115/jadikan-setiap-kisah-nahas-ngeri-sebagai-iktibar

Pages: [1]
View full version: Jadikan setiap kisah nahas ngeri sebagai iktibar


ADVERTISEMENT