Raline Publish time 30-9-2023 08:12 AM

Integriti dalam salur maklumat

Integriti dalam salur maklumat
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/18sun_1694988022.jpg
SEBAGAI umat Islam, perbuatan yang keji dan tidak bertanggungjawab wajib dihindari.


Kepesatan perkembangan era globalisasi dan teknologi maklumat masa kini menjadikan proses penyebaran maklumat antara perkara terpenting dalam kehidupan manusia. Bagi umat Islam, perkembangan ini wajar diterima dan diadaptasi dalam seluruh aspek kehidupan beragama. Bukan sekadar untuk urusan kehidupan seharian, perkembangan globalisasi dan teknologi maklumat ini perlu diambil kesempatan oleh umat Islam untuk menyebarkan dakwah Islamiah, memperluaskan jaringan tarbiah dan juga bersiasah (politik) dalam kerangka yang dibenarkan oleh syarak.

Sebenarnya, proses penyampaian ilmu dan maklumat adalah tradisi turun-temurun bagi seluruh umat Islam sejak dahulu lagi. Ia selaras dengan saranan daripada Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya agar menyampaikan segala ilmu yang disampaikan oleh baginda walaupun hanya sekadar satu ayat. Galakan yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad itu menunjukkan betapa pentingnya proses penyebaran ilmu perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam, sehinggakan sekiranya sekadar satu ayat sahaja maka ia juga perlu disebarkan.

Proses penyampaian maklumat antara elemen terpenting dan ia sering terdedah kepada penyelewengan dan penipuan. Islam sebagai sebuah agama yang sempurna menetapkan garis panduan penyampaian maklumat yang konstruktif dan relevan sehingga boleh diadaptasi prinsipnya dalam seluruh urusan manusia. Paling mudah dapat dilihat dalam sistem sanad dalam proses penyampaian dan penerimaan hadis oleh muhaddithin (ahli hadis). Satu garis panduan yang sangat ketat dan lengkap digarap oleh ulama hadis berdasarkan ajaran al-Quran dan al-Hadis, agar proses penyampaian maklumat dijalankan dengan tepat dan berintegriti.

Isu ketelusan atau integriti dalam penyampaian segala ilmu dan maklumat perlu dipandang serius oleh semua pihak. Amat menyedihkan apabila banyak kenyataan dan fakta dimanipulasi oleh sesetengah pihak bagi tujuan yang tertentu seperti meraih sokongan, menjatuhkan dan mengaibkan seseorang serta memanipulasi sentimen dan perasaan masyarakat. Kenyataan asal disembunyikan manakala ulasan berdasarkan perspektif yang menyimpang disebarkan tanpa rasa bersalah, seolah-olah tiada catatan dosa dan pahala.

Menyebarkan ilmu, fakta, maklumat dan keterangan yang palsu serta telah dimanipulasi adalah perbuatan yang keji lagi terkutuk. Lebih-lebih lagi sekiranya ia dilakukan dengan secara sedar atau sengaja bagi mengelirukan orang ramai berkaitan sesuatu perkara. Kesan daripada perbuatan itu pastinya sangat buruk, tetapi tetap juga dilakukan demi kepentingan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam menilai ilmu atau maklumat yang disampaikan, wajar bagi kita menelitinya menurut neraca al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah al-Hujurat: 6)

Menerima secara bulat-bulat sesuatu perkara tanpa menyelidiknya terlebih dahulu adalah tindakan yang bakal mengundang penyesalan kemudian hari. Tidak rugi sekiranya siasatan dan penelitian yang mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mempercayai sesuatu perkara apatah lagi menyebarkannya.

Namun apa yang membimbangkan, kewujudan sesetengah pihak yang dengan sengaja memutar belit dan memalsukan sesuatu kenyataan atau fakta sedia ada serta seolah-olah menjadi darah daging mereka.
Tindakan itu amat
bertentangan dengan ajaran Islam dan pastinya akan mengundang kerosakan pada masa hadapan. Kekeliruan yang timbul hasil daripada penyelewengan ilmu dan fakta akan memberi kesan jangka panjang sehingga sukar untuk menentukan kebenaran yang hakiki dan akhirnya akan merugikan semua pihak.

Allah SWT melaknat golongan yang menyembunyikan fakta yang sebenar walaupun jelas baginya kebenaran yang sepatutnya disebarkan. Ia tabiat pendeta Yahudi dan Nasrani yang suka menyembunyikan fakta sebenar demi kepentingan peribadi mereka. Ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk". (Surah al-Baqarah: 159)

Ayat ini jelas menunjukkan larangan Allah SWT tentang sikap suka menyembunyikan ilmu dan fakta yang sebenar. Ia bukan sahaja dilaknat oleh Allah SWT malah turut dilaknat dan dibenci oleh sekalian makhluk yang ada di muka bumi.

Sebagai umat Islam, perbuatan yang keji dan tidak bertanggungjawab ini wajib dihindari. Menyampaikan ilmu dan fakta yang benar suatu kefarduan manakala memutar belit dan memalsukan fakta adalah dosa besar. Keuntungan yang diperoleh hanyalah sedikit dan untuk kepentingan peribadi manakala kerosakan dan kerugian yang bakal ditanggung adalah lebih besar dan melibatkan banyak pihak. Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang yang diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya." Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati daripada penukaran (kalamullah dan janji-Nya) itu". (Surah ali-Imran: 187)

Adalah menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam untuk meneliti dan memeriksa sesuatu fakta sebelum menyebarkannya. Setiap yang kita lakukan pasti akan dicatatkan oleh malaikat manakala balasan dan ganjaran pasti menanti di sebalik setiap tindakan itu. Integriti dalam penyampaian maklumat adalah suatu kemestian dan pastinya ia suatu tuntutan utama dalam ajaran agama Islam yang syumul.



Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/09/1010789/integriti-dalam-salur-maklumat

Pages: [1]
View full version: Integriti dalam salur maklumat


ADVERTISEMENT