Raline Publish time 30-9-2023 08:10 AM

Kebatilan akidah Allah alam ghaib

Kebatilan akidah Allah alam ghaib

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/28hm15a_1693184469.jpg
ULAMA menjelaskan dinamakan ‘alam’ kerana ia menjadi alamat atau tanda kepada kewujudan dan kekuasaan Allah.


F ahaman Allah itu alam ghaib adalah suatu pemikiran yang menyeleweng daripada kebenaran. Kefahaman seperti ini boleh jadi kerana tidak dapat membezakan takrif alam dan makna bagi ghaib. Para ulama menjelaskan bahawa perkara ghaib itu ialah perkara yang tidak dapat dicapai dengan pancaindera.

Kita dituntut untuk beriman dengan perkara ghaib seperti yang difirman oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib."

Para ulama tafsir menyenaraikan beberapa perkara ghaib yang wajib diimani antaranya ialah Allah, malaikat, syurga, neraka, ruh dan lain-lain. Daripada kefahaman ini, Allah juga termasuk perkara ghaib yang wajib diimani.

Namun, Allah tidak termasuk alam ghaib kerana alam di sisi ulama usuluddin ialah "Setiap perkara yang selain Allah." Maka seluruh perkara wujud yang telah diciptakan Allah dinamakan alam. Para ulama menjelaskan, dinamakan 'alam' kerana ia menjadi alamat atau tanda kepada kewujudan dan kekuasaan Allah. Termasuk dalam erti alam ialah manusia, jin, malaikat, tumbuhan, cahaya, ruh, planet, Arasy dan lain-lain kerana semuanya menjadi dalil aqli kewujudan Allah.

Berdasarkan kefahaman ini, maka para ulama membahagikan alam itu kepada dua iaitu alam musyahadah dan alam ghaib. Alam musyahadah adalah seluruh makhluk yang dapat dicapai atau dicerap dengan pancaindera seperti manusia, binatang, bumi, matahari dan lain-lain. Manakala alam ghaib pula adalah seluruh makhluk yang tidak dapat dicerap dengan pancaindera iaitu malaikat, jin, ruh dan lain-lain. Allah tidak termasuk alam ghaib kerana Allah bukan makhluk. Bagaimana mungkin menamakan Allah itu alam ghaib sekiranya alam itu bermaksud segala yang selain Allah. Sesuatu yang dinafikan daripada istilah tidak boleh dimasukkan dalam istilah itu.

Menyatakan Allah alam ghaib adalah suatu perkara yang merosakkan aqidah kerana ia menjurus ke arah menyatakan Allah itu makhluk. Kenyataan seperti ini jika didakwa dengan memahami takrif yang sebenar seperti di atas dan dilakukan dengan sengaja maka boleh merosakkan akidah. Namun, bagi orang jahil maka ulama memberi keuzuran dengan tidak menghukum kufur tetapi dihukum sebagai ahli bid'ah dan fasik.

Kebatilan aqidah Allah di luar alam

Para ulama seperti Imam al-Baihaqi membahaskan bahawa Allah itu terlepas daripada makhluk atau alam, ia disebut sebagai "Allah bain an khalqihi." Kenyataan ini perlu difahami dengan baik kerana Darul Ifta' Jordan menyatakan terdapat dua tafsiran, tafsiran pertama adalah betul menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tafsiran kedua salah. Tafsiran pertama ialah Allah itu tidak serupa dan tidak sama dengan makhluk. Tidak boleh disifatkan Allah itu di atas alam atau menyifatkan di antara Allah dan alam itu ada jarak. Kenyataan ini jelas salah kerana mensabitkan bagi Allah itu arah dan tempat, sedangkan kedua-duanya ialah sifat makhluk.

Ramai yang salah dalam memahami kenyataan para ulama tentang perkara ini. Oleh itu, mereka memahami bahawa, setelah tujuh lapis langit, ada kursi, setelah itu ada air dan seterusnya ada Arasy. Bagi mereka, Arasy ialah pengakhiran bagi alam makhluk, maka Allah itu berada di atas Arasy iaitu di luar alam. Dari sini, timbul konsepMakaan al-Adamiyiaitu tempat yang ketiadaan. Mungkin konsep ini juga dikembang lebih jauh sehingga membawa kepada kefahaman Allah itu ada alamnya tersendiri. Kenyataan-kenyataan seperti ini adalah bid'ah, direka-reka dan tidak bersumberkan dalil yang qathie. Ia menyalahi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan Allah wujud tidak bertempat dan tiada arah kerana kedua-duanya ialah kelaziman bagi sifat jisim (makhluk).

Allah tidak boleh dinisbahkan kepada jisim, tidak boleh dikaitkan dengan sifat-sifat jisim. Segala sifat atau kelaziman bagi sifat jisim tidak boleh dinisbahkan kepada Allah. Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan Allah itu lapar atau kenyang. Allah tidak boleh dikatakan sihat atau sakit. Demikian juga kita tidak boleh mengatakan Allah bergerak atau diam. Berdasarkan kefahaman ini, maka dapat kita fahami bahawa tidak boleh dinisbahkan di dalam sesuatu atau di luar sesuatu. Kedua-duanya merujuk kepada sifat makhluk. Maka kefahaman Allah di luar alam juga salah dan tidak menepati akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kesimpulannya, Allah itu tidak boleh dikaitkan dengan alam. Sama ada mengatakan Allah itu alam ghaib atau mengatakan Allah di luar alam, kedua-dua menyalahi akidah sebenar. Kenyataan seperti ini akan bertambah celaru apabila mereka berinteraksi dengan hadisNuzul. Mereka memahami hadis ini dengan menyatakan Allah turun ke langit dunia pada satu per tiga malam. Ketika mereka memahami hadis ini secara literal maka, mereka menyatakan Allah itu masuk ke alam dan turun ke langit dunia pada satu per tiga malam. Kefahaman ini disepakati kesesatannya kerana ia membawa kepada akidahhululiaitu Allah menyerapi makhluk-Nya. Golongan mereka sendiri menentang akidahhulultetapi mereka tidak perasan kefahaman literal mereka terhadap hadis di atas juga membawa kepada aqidah yang sama.

Hal seperti ini terjadi kerana mereka berkeras untuk tidak menerima kaedah takwil dan tafsiran ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan Allah tidak turun, tidak bertukar tempat dan tidak berubah-ubah. Ulama kita menafsirkan turun dalam hadis tersebut dengan makna turun rahmat, turun perintah Allah dan juga turun malaikat suruhan Allah. Tafsiran seperti selamat daripada menyatakan Allah itu masuk ke dalam alam atau menyatu dengan alam.

Satu perkara yang perlu difahami dengan baik dan dipegang dengan kukuh ialah Allah tidak sama dengan makhluk. Menetapkan sifat-sifat makhluk kepada Allah telah menodai makna ini. Disebabkan itu ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah teguh dalam mempertahankan akidah Allah wujud tidak bertempat. Sepertimana Allah wujud tidak bertempat ketika makhluk dan tempat belum ada, maka demikian Allah wujud tidak bertempat setelah makhluk ada. Semoga kita dapat memahami akidah ini dengan baik dan berpegang dengannya sehingga ajal menjemput. Wallahu'alam.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri



Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/08/1003977/kebatilan-akidah-allah-alam-ghaib

Pages: [1]
View full version: Kebatilan akidah Allah alam ghaib


ADVERTISEMENT