mattzzx Publish time 28-9-2023 02:57 PM

Penembak negara, Johnathan Wong lega layak ke final

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/wong_1695882668.jpg
Atlet menembak, Jonathan Wong ketika di Sukan Sea 2021 lalu.

Hangzhou: Atlet menembak negara, Johnathan Wong Guanjie berjaya memperbaiki pencapaian pada temasya Sukan Asia 2022 apabila menamatkan acara 10m air pistol lelaki di kedudukan keenam daripada lapan peserta, hari ini.

Sekalipun hanya membidik 157.0 mata untuk berada pada kedudukan keenam, pencapaian di Pusat Sukan Fuyang Yinhu itu jauh lebih baik berbanding pada edisi 2018 apabila dia sekadar menamatkan saingan di tangga ke-24 sekali gus gagal ke final.

Namun sayangnya, dia berada pada kedudukan podium pada pusingan kelayakan yang berlangsung pada sebelah pagi apabila menamatkan kelayakan pada kedudukan ketiga daripada 57 peserta yang bertanding.

Pada aksi kelayakan yang berlangsung di venue sama itu, atlet berusia 31 tahun itu melakukan catatan 580 mata dan mengesahkan tempat ke final.

Mengulas mengenai aksi final, Johnathan mengakui lega apabila berjaya lolos ke final bagi edisi kali ini selepas kecewa dalam dua edisi terdahulu termasuklah pada temasya 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Malah dia turut menyifatkan menamatkan saingan di tangga keenam di Hangzhou sebagai pencapaian yang terbaik apatah lagi berjaya mencapai 580 mata buat kali pertama di peringkat antarabangsa meskipun dalam kelayakan.

"Memang ini harapan saya (ke final) pada Sukan Asia kali ini walaupun sebelum ini, saya banyak berfikir bagaimana untuk saya layak ke final. Ini satu saingan yang sukar tetapi saya dapat momentum ketika kelayakan.

"Saya meneruskan momentum itu cuma ada sedikit kekurangan ketika final di bahagian 'triggering' yang menyebabkan rentak saya memanjang, otot pun mula penat dan perlu melepaskan tembakan dalam tempoh 15 saat.

"Jadi tembakan saya tidak seperti yang dimahukan dan ada tembakan berkumpul di bahagian atas. Saya cuba mengawalnya dan membetulkannya tetapi agak susah sedikit untuk mengejar selepas itu.

"Apapun ini adalah pengalaman yang bagus buat saya dan saya akan memperbaiki kelemahan ini untuk pertandingan akan datang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/09/1014282/penembak-negara-johnathan-wong-lega-layak-ke-final
Pages: [1]
View full version: Penembak negara, Johnathan Wong lega layak ke final


ADVERTISEMENT