Raline Publish time 27-9-2023 07:59 PM

Mengajar insan mensyukuri nikmat Allah

Mengajar insan mensyukuri nikmat Allah




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/27hm15ha_1695769340.jpg
UMAT Islam saban tahun menzahirkan kesyukuran melalui sambutan Maulidur Rasul.


Ahamdulillah dengan kedatangan 12 Rabi'al-Awwal, ramai dalam kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid al-Rasul SAW walaupun sesetengahnya berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabi' al-Awwal.

Bagaimanapun ia hanya khilaf dalam kalangan ulama, apa yang penting adalah perasaan kita untuk menghargai Nabi Muhammad SAW kerana membawa cahaya petunjuk kepada kita semua.

Bagaimanapun, wujud polemik tentang pandangan yang menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul berkenaan sebagai suatu perbuatan bidaah iaitu mengada-adakan sesuatu yang baharu.

Dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata: "Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi'ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

Di samping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil.

Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya." Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka. Antaranya:

Al-Abbas bersyair:

"Dikala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin." (Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain)

Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Isu ini seringkali menjadi polemik dalam kalangan sarjana Islam.

Sebenarnya, ramai dalam kalangan tokoh ulama Islam meletakkan keharusan sambutan Maulidur Rasul iaitu termasuk dalam bidaah hasanah antaranya adalah Imam Jalaluddin al-Suyuti, Imam Ibn Hajar al-Haithami, Al-Hafiz Shamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi, Al-Hafiz Shamsuddin bin al-Jazari, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi dan ramai lagi.

Berdasarkan kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab: "Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku." (Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi umatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baik tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala daripada orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun." (Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baharu yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunah, athar mahupun ijmak ulama.

Maulid al-Rasul adalah perkara baharu yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu pun dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.

Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: "Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid'ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh.

Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bidaah yang baik (hasanah).

Jika tidak, maka tidak disebut bidaah hasanah." (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)

Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: "Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baharu yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam."

Berdasarkan penerangan berkenaan, dapat disimpulkan bahawa menyambut Maulidur Rasul adalah sesuatu yang baik kerana di dalamnya terdapat pelbagai bentuk pengajaran yang boleh diambil.

Untuk itu, janganlah kita sering berpecah dalam melakukan kebaikan dan setiap perbezaan pendapat itu sebenarnya mempunyai rahmat yang besar jika kita semua bijak mencari titik persamaan serta mengurangkan perbezaan pandangan.

Penulis wartawan Harian Metro

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/09/1013807/mengajar-insan-mensyukuri-nikmat-allah

Pages: [1]
View full version: Mengajar insan mensyukuri nikmat Allah


ADVERTISEMENT