mattzzx Publish time 27-9-2023 04:33 PM

Carr takluk Genting Highlands demi mendiang datuk

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/carr26_1695801054.jpg
CARR (tengah) memenangi perlumbaan peringkat kelima LTdL 2023 dari Slim River ke Genting Highlands, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.

Genting Highlands: Selepas 'berdiam diri' selama empat peringkat perlumbaan, pasukan WorldTeam, EF Education-Easypost menunjukkan taring mereka apabila menguasai pendakian Genting Highlands di peringkat kelima Le Tour de Langkawi (2023) dari Slim River sejauh 126.4 kilometer (km), hari ini.

Bukan seorang, tetapi dua pelumba mereka menguasai podium hari ini dengan Simon Carr menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 24 minit 6 saat (s), sebelum disusuli rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda yang ketinggalan 0:39s.

Tempat ketiga diraih pelumba Sepanyol, Pablo Castrillo yang mewakili pasukan Equipo Kern Pharma selepas ketinggalan 0:48s daripada Carr.

Nombor 1 yang dipakai pada badan dan basikal Carr seakan-akan memberi amaran dia bakal mengungguli LTdL 2023 selepas berjaya merampas Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) dengan catatan masa 19:25.10s disusuli Cepeda (0:49s), manakala Castrillo di kedudukan ketiga (0:58s).

Ia adalah kali ketiga Carr memenangi peringkat perlumbaan tahun ini selepas cemerlang di peringkat kelima Tour of the Alps (April) dan peringkat keempat Le Route d'Occitanie-La Depeche du Midi (Jun).

Ini adalah kemenangan 1-2 kali kedua EF Education-Easypost selepas kali terakhir pada peringkat kelima Tour of The Alps.

"Ya, sudah pasti ia satu pendakian yang sukar, tetapi kami melakukan kerja menakjubkan dengan seluruh pasukan bersama-sama menamatkan saingan di Genting Highlands. Saya sangat gembira untuk menyelesaikan perlumbaan hari ini.

"Jelas perlumbaan hari ini agak sukar, tetapi kami mengekalkan kelajuan tinggi dari mula pendakian dan kami beraksi dengan cukup cemerlang.

"Bagi saya kemenangan ini amat bermakna bukan hanya kerana saya menjuarai perlumbaan, tetapi sebenarnya saya sangat bermotivasi untuk menang hari ini berikutan datuk saya (Tony Carr) baru meninggal dunia Isnin lalu.

"Dia adalah peminat nombor 1 saya dan saya benar-benar mahu memenangi perlumbaan ini untuknya," katanya.

Sementara itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 32 mata, dia diekori Carr (20 mata) dan Castrillo di tempat ketiga (13 mata).

Rakan sepasukan Pellaud, Arvid De Kleijn mengungguli Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 30 mata, diikuti Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane) 29 mata dan pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson di kedudukan ketiga (27 mata).

Jersi Putih (Terbaik Asia) pula berpindah tangan kepada pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy yang menjadi satu-satunya wakil Asia menghabiskan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik dengan menduduki tempat kelima.

Pronskiy unggul dengan catatan masa 19:26:25s, manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Saibayar ketinggalan 2:15s, diikuti pelumba Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath (4:49s).

Esok, perlumbaan akan bermula dari Karak dan berakhir di Kuala Pilah dengan jarak sejauh 174.5km.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/09/1013963/carr-takluk-genting-highlands-demi-mendiang-datuk
Pages: [1]
View full version: Carr takluk Genting Highlands demi mendiang datuk


ADVERTISEMENT