mattzzx Publish time 27-9-2023 10:39 AM

Malaysia boleh jadi kuasa besar e-sukan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/SUKAN_ASIA_2022_E_SUKAN_1695736456.jpg
Pasukan e-sukan negara ketika menentang China pada final Arena of Valor, temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat e-sukan Hangzhou, China. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

HANGZHOU: Tidak dinafikan e-sukan sedang mencetuskan fenomena di seluruh dunia tetapi adakah ia adalah sukan masa depan?

Segelintir pihak mempercayai perkara itu terutama selepas Malaysia menjadi salah sebuah negara kuasa besar.

Terdahulu, Malaysia memenangi pingat pertama e-sukan di pentas Sukan Asia selepas Lai Chia Chein, Nicholas Ng, Yong Zhang Quan, Ong Jun Yang, Eng Jun How dan Chong Han Hui meraih perak dalam acara Arena of Valor (AOV) pada aksi final, hari ini.

Pasukan negara terpaksa akur apabila tewas 0-2 di tangan China yang juga pasukan pilihan.



Meskipun terlepas emas, masih ada banyak perkara positif buat pasukan negara.

Sebagai contoh, pasukan negara menerima jemputan untuk bertanding dalam saingan liga pro dunia AOV tahun ini yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$10 juta (RM47 juta).

"Kami telah menerima jemputan untuk menyertai liga pro dunia akhir tahun ini.

"Kami akan kembali ke Malaysia dan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Kami perlu menubuhkan pasukan profesional.

"E-sukan tidak seharusnya dipandang negatif. Para pemain bukan sahaja duduk dan bermain permainan, tetapi mereka juga berpeluh dan mempunyai degupan jantung. Sebab itu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (NSI) memberikan sokongan.

"Setiap sukan bermula sebagai sesuatu yang menyeronokkan sebelum ia menjadi sukan berprestasi tinggi," kata pengurus pasukan kebangsaan Wong Kang Woon, yang mengakui China hanya satu tahap di atas pasukan kebangsaan.

"China telah bermain AOV selama tujuh hingga lapan tahun, kami hanya bermain selama kira-kira lima tahun. Dalam erti kata lain, ia seperti membandingkan cucu dengan datuknya.

"Pasukan sudah memberikan yang terbaik, dan menyokong satu sama lain," tambahnya.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/09/1157645/malaysia-boleh-jadi-kuasa-besar-e-sukan
Pages: [1]
View full version: Malaysia boleh jadi kuasa besar e-sukan


ADVERTISEMENT