mattzzx Publish time 25-9-2023 04:59 PM

Gaya rambut Jackson bawa tuah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/geor_1695629560.jpg
JACKSON (tengah) menjuarai peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Jeli ke Baling sejauh 183.1 kilometer (km). FOTO ASWADI ALIAS

Baling: George Jackson membuktikan dia bukan hanya menang dengan gaya potongan rambut tetapi tetap hebat ketika melakukan henjutan terakhir untuk memenangi peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Jeli ke Baling sejauh 183.1 kilometer (km).

Pelumba Bolton Equities Black Spoke itu berjaya meraih kemenangan keempat dalam kariernya selepas mengetepikan Enrico Zanoncello dari Green Project-Bardiani CSF-Faizane dan tempat ketiga diraih Carlos Canal (Euskaltel-Euskadi).

Bagaimanapun, kekecewaan Zanoncello diubati dengan merampas Jersi Hijau daripada pendahulu keseluruhan dua peringkat berturut-turut, Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling Team), selepas mengumpul catatan masa 12 jam 55 minit 05 saat (s).

Dia berkongsi masa keseleruhan dengan Jackson dan di tempat ketiga ialah pelumba pasukan WorldTeam, EF Education-Easy Post, Simon Carr selepas ketinggalan 0.04s.

"Saya rasa sudah berikan kayuhan terbaik hari ini, walaupun saya bukannya seorang pendaki tulen. Saya berada di kedudukan terbaik dan sentiasa mengejar pelumba lain sepanjang perlumbaan.

"Apa pun saya gembira dapat menyelesaikan tugas ini, kerana saya sentiasa yakin sebab kami membentuk persefahaman mantap sejak Tour Taihu Lake," kata pelumba New Zealand yang terkenal dengan gaya potongan rambut mullet itu.

Kali terakhir pelumba New Zealand muncul juara peringkat ialah melalui Glen Mitchell pada 1996 iaitu edisi sulung LTdL.

Sementara itu, turut mencuri tempuan kali ini ialah pelumba skuad kebangsaan Nur Aiman Muhammad Rosli selepas berjaya merampas Jersi Putih (Terbaik Asia) apabila melintasi garisan di kedudukan keenam hari ini.

Aiman berkongsi masa keseluruhan 12:55.15s bersama pelumba tempat kedua terbaik, Thanakhan Chaiyasombat dari Thailand Cycling Team diikuti Masaki Yamamoto (JCL Team Ukyo).

"Memang tak tahu nak cakap macam mana, ini rezeki saya dan pasukan Malaysia pada LTdL kali ini. Saya buat ini bukan untuk saya seorang tetapi rakyat Malaysia serta seluruh pasukan saya.

"Memang tak dirancang tetapi saya bertahan dan cuba buat terbaik untuk diri saya. Perancangan saya untuk 'ride for survive' dan hendak selamatkan diri kerana hari ini perlumbaan laluan berbukit. Jadi saya hanya bertahan dalam peloton," katanya.

Jersi Jingga selaku Raja Pecut berjaya dikekalkan De Kleijn selepas berkongsi 27 mata dengan Zanoncello, manakala kedudukan ketiga diraih juara peringkat kedua semalam, Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team).

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) yang diungguli Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berjaya dirampas pelumba Simon Pellaud (Tudor Pro Cycling Team) selepas 'mengamuk di tiga zon pendakian, Jeli, Puncak Titiwangsa dan Seri Banding untuk mengumpul keseluruhan 20 mata.

Dia jauh meninggalkan dua pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Luca Covili (12) dan Mateo Scalco (11).

Peringkat keempat esok akan bermula Bukit Mertajam ke Meru Raya, Ipoh dengan perlumbaan sejauh 140.2km.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/09/1013311/gaya-rambut-jackson-bawa-tuah
Pages: [1]
View full version: Gaya rambut Jackson bawa tuah


ADVERTISEMENT