mattzzx Publish time 3-9-2023 12:37 PM

Harith enggan letak sasaran tinggi

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/09/AA1stLEAD-HARITH-FARHAN-52.jpg
HARITH sedia berbincang dengan Afizi untuk mengatur strategi bagi memastikan Pink Racing dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. – ZULFACHRI ZULKIFLI

PELUMBA pasukan Tobaki Cilik Pink Racing, Harith Farhan Baharin menggalas misi tersendiri menjelang perlumbaan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 di Teluk Intan hari ini.

Selepas aksi mengecewakan di Terengganu Julai lalu, pelumba berusia 24 tahun itu tekad untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas di Teluk Intan.

Bagaimanapun, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi pada perlumbaan hari ini selain mengharapkan jentera tidak berdepan masalah bagi memastikan misi yang digalas tercapai.

“Menjelang perlumbaan di Teluk Intan, saya tidak letak sasaran tinggi, cuma habiskan perlumbaan kerana di Terengganu saya gagal habiskan kerana jentera berdepan masalah mekanikal.

“Harapan saya di Teluk Intan adalah tidak ada sebarang masalah dari segi jentera. Kalau boleh, saya akan cuba untuk tamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pelumba kelahiran Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu itu mengakui, jentera mula menunjukkan prestasi terbaik memandangkan dia pernah menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan jentera sebelum ini.

Selain itu, Harith juga sedia untuk berbincang dengan rakan sepasukan, Afizi Supaat berhubung strategi pasukan bagi memastikan Pink Racing dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik.

“Keadaan jentera setakat ini sudah semakin baik di Terengganu juga motor tunjukkan prestasi yang bagus, cuma tidak ada rezeki untuk tamatkan perlumbaan. Oleh itu, saya harap jentera akan bertambah baik di Teluk Intan.

“Berhubung perancangan untuk perlumbaan, kami perlu tengok kondisi trek dan jentera sebelum buat sebarang keputusan. Mungkin akan ada sesuatu untuk kami tolong antara satu sama lain demi pasukan,” ujarnya.
https://www.kosmo.com.my/2023/09/03/harith-enggan-letak-sasaran-tinggi/
Pages: [1]
View full version: Harith enggan letak sasaran tinggi


ADVERTISEMENT