Raline Publish time 26-8-2023 08:41 AM

Damok kecewa mahu segera bangkit

Damok kecewa mahu segera bangkit


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Damok2_1692601491.jpg
DAMOK tidak sabar untuk berlumba di Catalunya. FOTO Ihsan ZK Racing


Kuala Lumpur: Badi gagal mengutip mata terus menghantui pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman pada Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring semalam apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-28.

Keputusan itu sememangnya bukanlah yang dimahukan oleh pelumba pasukan MT-Helmets Msi itu selepas kali terakhir mengutip mata di GP Argentina, April lalu.

Selepas pulih sepenuhnya daripada insiden retak tulang rusuk akibat kemalangan di GP Itali, Jun lalu sehingga memaksanya berehat panjang, pelumba yang mesra disapa Damok itu berdepan nasib malang sekali lagi apabila terjatuh pada perlumbaan semalam namun mujur tiada kecederaan serius.

Mengakui kecewa dengan pencapaiannya, Damok mahu segera bangkit pada perlumbaan seterusnya di GP Catalunya, 3 September depan.

"Saya agak kecewa dengan keputusan saya. Saya terjatuh di selekoh ketiga, tiada kecederaan serius. Saya bangun dan teruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

"Tapi saya gembira dengan kemajuan dilakukan pasukan untuk jentera saya pada minggu ini. Saya tidak sabar untuk berlumba di Catalunya.

"Saya harap dapat berada di kedudukan kelompok 15 teratas dan raih mata. Doakan kejayaan saya," katanya.

Berbeza dengan Damok, nasib lebih baik untuk rakan sepasukannya, Diogo Moreira yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan sekali gus menduduki tempat keenam keseluruhan dengan mengumpul 94 mata.

Manakala Damok berada di kedudukan ke-24 dengan meraih lima mata, iaitu ketika menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 di GP Argentina, April lalu.



Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2023/08/1001836/damok-kecewa-mahu-segera-bangkit

Pages: [1]
View full version: Damok kecewa mahu segera bangkit


ADVERTISEMENT