Raline Publish time 24-8-2023 07:00 PM

Sime Darby beli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings

Sime Darby beli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/simedarby23_1692862954.jpg
GAMBAR HIASAN


Kuala Lumpur: Konglomerat Sime Darby Bhd, membeli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada RM3.57 bilion secara tunai, untuk mempertingkatkan dan memperkukuh kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.

Langkah itu, yang menjadi antara perjanjian penggabungan dan pembelian terbesar di Malaysia, akan mentransformasikan Sime Darby secara strategik menjadi peserta automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan jenama pasaran massa volum tinggi iaitu menerusi Toyota dan Perodua, menguasai sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pembelian itu akan melengkapkan portfolio premium hingga mewah sedia ada Sime Darby iaitu BMW, Rolls-Royce dan Porsche.

Menerusi pembelian itu, yang lebih penting, akan membolehkan syarikat meningkatkan skala operasinya di Malaysia, mengimbangi sebarang risiko geopolitik dalam rantau ini daripada dua pasaran utamanya iaitu China dan Australia.

Beliau menjangkakan sumbangan perolehan mengikut negara selepas transaksi itu adalah kira-kira 30:30:30, daripada 15:37:35 pada masa ini sekali gus menawarkan profil yang lebih stabil.

"UMW sudah pun menjadi peserta automotif yang dominan dengan menguasai 52 peratus bahagian pasaran tempatan, dan langkah pembelian itu dijangka menjadikannya sehingga 55 peratus.

"Entiti yang diperbesarkan itu akan mencipta nilai lebih besar untuk semua pemegang kepentingan kami dan membolehkan kami sebagai syarikat multinasional Malaysia melaksanakan peranan lebih baik dalam mengembangkan industri automotif negara," katanya kepada Bernama.

Jeffri berkata, susulan perjanjian penjualan saham (SPA) bersyarat yang ditandatangani dengan PNB hari ini, pihaknya akan mendapatkan persetujuan daripada kalangan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa November ini.

Beliau berkata, transaksi RM3.57 bilion, berdasarkan RM5 sesaham mengikut SPA itu adalah keuntungan bersifat tambahan dan akan memberi manfaat kepada pemegang saham Sime Darby serta pemegang unit PNB dalam jangka masa panjang.

Jeffri berkata, pembelian itu juga akan membolehkan Sime Darby mengakses ekosistem Toyota dan menambah satu lagi nama kepada jenama-jenama kukuhnya, sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk syarikat berkembang di wilayah geografi baharu.

Langkah ini juga akan menguatkan lagi segmen bermargin tinggi syarikat seperti kereta terpakai, selepas jualan dan pemasangan, susulan volum besar yang di bawah penguasaan syarikat.

Selain itu, beliau berkata transaksi itu akan membawa Toyota Forklifts – di bawah Toyota Industries Corporation (TICO) – ke dalam portfolio Sime Darby, dan ini memberikannya pendedahan kepada perniagaan pengendalian barangan yang berkembang pesat yang didorong oleh ledakan e-dagang.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/08/1002899/sime-darby-beli-612-peratus-kepentingan-dalam-umw-holdings


Pages: [1]
View full version: Sime Darby beli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings


ADVERTISEMENT