Raline Publish time 23-8-2023 07:31 PM

Zii Jia azam buru gelaran dunia

Zii Jia azam buru gelaran dunia
https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/08/LEE-ZII-JIA.jpg
ZII JIA mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia selepas menumbangkan Christie untuk bertemu Yang.


BINTANG perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada pada landasan tepat dalam pemburuannya bergelar juara dunia selepas melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.

Zii Jia, 25, menunjukkan permainan hebat sehingga berjaya membuatkan pemain ranking kelima dunia, Jonatan Christie ‘hilang arah’ sebelum tumbang 21-13, 21-15 pada pusingan pertama di Royal Arena malam kelmarin.

Sebelum kejohanan, lawan dari Indonesia berkenaan berpotensi menghantar Zii Jia pulang awal, tetapi pemain profesional negara di ranking ke-13 dunia itu membuktikan sebaliknya dengan kemenangan straight-set.

“Kami sudah ada juara dunia beregu lelaki, tetapi tidak untuk perseorangan. Ramai orang menunggu untuk lihat siapa akan menjadi yang pertama.

“Sudah tentu saya mahukannya (juara dunia) tetapi saya tenang sahaja. Saya ambil langkah satu demi satu perlawanan,” kata Zii Jia selepas tamat aksi pusingan pertama malam kelmarin.

Bekas juara Asia dari Alor Setar, Kedah itu dijangka tiada masalah meloloskan diri ke pusingan ketiga apabila dijadualkan bertemu pemain Kanada di ranking ke-25 dunia, Brian Yang di pusingan kedua hari ini.

Mengikut statistik, juara All England 2021 itu tidak pernah tewas dalam tiga pertemuan menentang Yang, malah kesemuanya menerusi kemenangan straight-set.

Selain Zii Jia, seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong turut cemerlang selepas menang 21-19, 26-24 ke atas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zhao Junpeng dari China.

Namun, cabaran sukar menanti Tze Yong apabila turun menentang pemain Denmark, Anders Antonses hari ini.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/08/23/zii-jia-azam-buru-gelaran-dunia/

Pages: [1]
View full version: Zii Jia azam buru gelaran dunia


ADVERTISEMENT