mattzzx Publish time 17-8-2023 01:55 PM

Pelumba ARRC Jepun meninggal dunia

https://assets.bharian.com.my/images/articles/HarukiNoguchi_1692242410.jpg
Pelumba Jepun, Haruki Noguchi meninggal dunia selepas terbabit kemalangan pada Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Mandalika, Indonesia, Ahad lalu. – Foto FIM Asia Road Racing Championship

KUALA LUMPUR: FIM Asia mengesahkan pelumba Jepun, Haruki Noguchi meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia, Ahad lalu.

Noguchi menghembuskan nafas terakhirnya semalam selepas dirawat secara intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat.

"Dengan penuh kesedihan kami mengumumkan kematian Haruki Noguchi selepas tiga hari menerima rawatan intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat," kata FIM Asia dalam kenyataan media hari ini.

"Semasa Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Mandalika, Haruki cedera parah berikutan insiden di selekoh 10, Pusingan 4 kategori Asia Superbike 1000cc.


"Penunggang berusia 22 tahun itu segera menerima rawatan di pusat perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital. Di sebalik usaha sehabis baik dilakukan kakitangan perubatan, Haruki meninggal dunia akibat kecederaannya pada 16 Ogos 2023 jam 5.40 petang.

"Presiden FIM Asia dan Lembaga Pengarah, keluarga Two Wheels Motor Racing dan FIM Asia Road Racing mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang Haruki Noguchi."

Pada Perlumbaan 1 Sabtu lalu, Noguchi yang mewakili pasukan SDG MS Harc-Pro.Honda.Ph. menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 16 minit 13.176 saat.

Perlumbaan 2 terpaksa dihentikan berikutan kemalangan membabitkannya.

Noguchi dilihat sebagai pelumba berpotensi dan mengumpul 113 mata keseluruhan bagi kelas perdana untuk berada di tangga kedua keseluruhan.

Pelumba itu memulakan kempen dengan cemerlang, menawan kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, Mac lalu.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2023/08/1141454/pelumba-arrc-jepun-meninggal-dunia
Pages: [1]
View full version: Pelumba ARRC Jepun meninggal dunia


ADVERTISEMENT