tari Publish time 14-8-2023 09:22 PM

Bergelut cari mangsa, korban kebakaran di Hawaii hampiri 100 orang

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/14hmcro1a_1691983339.jpg
PENDUDUK melalui kompleks apartment yang musnah dalam kebakaran di Lahaina, barat Maui. FOTO AFP.
Kahului, Hawaii: Angka kematian akibat kebakaran hutan Maui mencecah 93 orang, semalam ketika ramai yang mencari petanda orang tersayang mereka mungkin masih hidup, manakala mangsa terselamat terkesan dengan bencana itu dan mencari ketenangan di gereja.
Beberapa hari selepas api memusnahkan sebahagian besar bandar peranginan bersejarah, Lahaina pada Selasa dan Rabu, pasukan bomba masih bertungkus lumus memadam kebakaran, sementara anjing K9 mencari mangsa di bawah sisa terbakar.
Angka kematian terkini menjadikan kebakaran itu sebagai bencana alam paling buruk di Hawaii, mengatasi tsunami yang mengorbankan 61 orang pada 1960, setahun selepas Hawaii menjadi negeri di bawah Amerika Syarikat (AS).
Ia juga antara jumlah kematian terbesar akibat kebakaran hutan AS sejak 1918, apabila 453 orang maut dalam kebakaran Cloquet di Minnesota dan Wisconsin, menurut data Persatuan Perlindungan Kebakaran Kebangsaan.
Ramai daripada mangsa yang terselamat berkunjung ke gereja, semalam termasuk Akanesi Vaa, 38, yang berkata, keluarganya terperangkap dalam lalu lintas ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran.
Vaa, suaminya dan anak berusia 15, 13 dan 9 tahun terpaksa berjalan kaki dan melompat pagar untuk menyelamatkan diri. Di perjalanan itu, seorang wanita tua merayu meminta pertolongan dengan menghulurkan bayi untuk dijaga. Wanita itu dan suaminya juga berjaya melompat pagar.
"Saya rasa ramai di antara kami perlu mendengar mesej (di gereja) hari ini," kata Vaa selepas menghadiri gereja di King's Cathedral di Kahului.
Katanya, dia yakin Lahaina akan bangkit semula 10 kali lebih kuat selepas bencana itu.


tari Publish time 14-8-2023 09:27 PM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/14hmpdm1a_1691983345.jpg

PASUKAN bomba Maui masih memadam sisa kebakaran di lembah Kula, Pulau Maui. FOTO Reuters.
Berharap mangsa yang hilang terselamat, orang ramai menyaring beribu nama yang disiar pangkalan data dalam talian untuk mencari ahli keluarga mereka.
Ada yang berkongsi maklumat keluarga dan rakan di media sosial serta meminta bantuan mencari mereka yang masih belum ditemui.
"Masih mencari mentua saya," tulis Heather Baylosis dalam catatan Instagram pada Sabtu.
Katanya, orang ramai yang ditemui selamat pula masih keliru dengan apa yang sedang dihadapi, namun tetap menaruh harapan.
Megan Sweeting berkongsi halaman Facebook, "HILANG: Ayah saya, Michael Misaka telah hilang sejak kebakaran Lahaina bermula. Jika ada sebarang maklumat di luar sana mengenai ayah saya sila maklumkan saya. Saya cuma mahu tahu dia selamat."
Gabenor Hawaii, Josh Green sekali lagi berikrar untuk menyiasat sistem pemberitahuan kecemasan dan tindak balas kebakaran selepas beberapa penduduk mempersoalkan sama ada lebih banyak amaran boleh diberikan ketika kejadian.
Beberapa saksi berkata, amaran kebakaran diterima terhad dan menggambarkan ketakutan mereka apabila api memusnahkan bandar dalam masa beberapa minit sahaja.
Ada orang yang terpaksa terjun ke Lautan Pasifik untuk menyelamatkan diri.
Siren yang diletakkan di sekitar pulau itu bertujuan untuk memberi amaran mengenai bencana alam didakwa tidak berbunyi, manakala bekalan elektrik serta gangguan selular menghalang bentuk amaran yang lain.
"Kita akan tahu tidak lama lagi sama ada siren itu dibunyikan secara mencukupi atau tidak," kata Green kepada MSNBC.
Kos untuk membina semula Lahaina dianggarkan berjumlah $5.5 bilion, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), dengan lebih 2,200 struktur rosak atau musnah dan lebih 2,100 ekar (850 hektar) kawasan terbakar.sumber

Pages: [1]
View full version: Bergelut cari mangsa, korban kebakaran di Hawaii hampiri 100 orang


ADVERTISEMENT