tari Publish time 10-8-2023 03:27 PM

Serangan ragut nyawa pelajar perempuan gemparkan Argentina

https://assets.bharian.com.my/images/articles/ARGENTINA-POLITICS-ELECTION-PRIMARY-CRIME-LANUS_1691648045.jpg
Kain rentang bertulis ‘Keadilan untuk Morena, kami meluat dengan ancaman keselamatan’ diikat di hadapan barisan anggota polis yang berkawal ketika protes menuntut keadilan bagi kanak-kanak berusia 11 tahun yang maut apabila cuba mengelak beg galasnya diragut. - Foto AFP

BUENOS AIRES: Seorang kanak-kanak perempuan Argentina berusia 11 tahun meninggal dunia semalam selepas beg sekolahnya diragut dan menjadi mangsa serangan fizikal ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.
Tragedi itu mencetuskan bantahan rakyat terhadap peningkatan jenayah dan mendorong ahli politik menangguhkan kempen pilihan raya.
Negara itu sepatutnya mengadakan pilihan raya utama pada Ahad, menjelang Pemilihan Presiden pada 22 Oktober, dalam keadaan inflasi berleluasa dan ketenteraman awam semakin terjejas, menyebabkan pengundi bertambah bimbang.
Saksi yang bercakap kepada stesen televisyen tempatan berkata, mangsa, Morena Dominguez, sedang berjalan menuju ke sekolah apabila didekati peragut bermotosikal dari belakang, taktik biasa peragut sebelum suspek memukul dan merampas beg galasnya.
Dominguez dibawa ke hospital untuk dirawat, namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.


Pengarah Pusat Kesihatan Evita, Javier Maroni berkata, ketika mangsa tiba di pusat kesihatan, dia sudah dalam keadaan kritikal dengan luka teruk di kepala dan mangsa akhirnya meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU).
Rakaman kamera keselamatan mengenai kes rompakan itu dimainkan di seluruh stesen televisyen negara sepanjang hari.
Tragedi yang berlaku di Lanus, selatan ibu kota Buenos Aires itu mendorong penduduk berkumpul sebagai tanda protes.
"Adakah kanak-kanak perlu mati untuk memperoleh keselamatan?," persoal ibu kanak-kanak itu, Maria, seperti disiarkan saluran berita A24.
Saksi lain dilaporkan berkata, ambulans mengambil masa 40 minit untuk tiba di lokasi kemalangan.
Menteri Keselamatan Wilayah, Sergio Berni, berkata dua samseng motosikal sudah diberkas.
Calon utama untuk pemilihan parti politik negara itu menangguhkan perhimpunan pilihan raya terakhir mereka yang dijadualkan semalam dan hari ini.
Presiden Alberto Fernandez tidak berhasrat untuk dipilih semula dan anggota parti pemerintah yang mendahului ialah Menteri Ekonomi, Sergio Massa.
Keputusan saingan untuk calon pembangkang sayap kanan kurang jelas, dengan Datuk Bandar Buenos Aires, Horacio Larreta dan bekas Menteri Keselamatan, Patricia Bullrich, kedua-duanya bertanding.
Argentina mempunyai salah satu daripada kadar pembunuhan terendah di Amerika Latin dengan 4.2 orang bagi setiap 100,000 dibunuh pada tahun lalu.
Bagaimanapun, jenayah kecil meningkat seiring dengan kemiskinan ketika kerajaan berjuang untuk mengekang ketidakstabilan ekonomi dan inflasi dari tahun ke tahun, yang kini mencecah 115 peratus.
Semalam, pertukaran 'dolar biru' selari, yang paling biasa digunakan oleh penduduk untuk mengakses dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mengelakkan kawalan mata wang, mencecah 600 peso, susut nilai sebanyak 17.5 peratus dalam tempoh sebulan lalu.
Rakyat Argentina kurang mempercayai mata wang mereka sehingga ramai yang menukarnya kepada dolar AS secepat mungkin dan menyimpannya di dalam peti besi atau di bawah tilam. - AFP
sumberOgos 10, 2023 @ 2:14pm
Pages: [1]
View full version: Serangan ragut nyawa pelajar perempuan gemparkan Argentina


ADVERTISEMENT