tari Publish time 10-8-2023 12:13 PM

Peningkatan ketara suhu global harus jadi pengajaran - PBB

https://assets.bharian.com.my/images/articles/IRAQ-UN-DIPLOMACY_1691636211.jpg
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk (tengah) pada sidang media di Baghdad, Iraq. - Foto AFP


BAGHDAD: Peningkatan suhu yang melampau dan kemarau panjang di Iraq adalah 'peringatan' kepada dunia, kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, di Baghdad semalam.
Beliau berkata demikian kepada AFP ketika lawatannya ke Iraq, yang menurut PBB Iraq adalah satu daripada lima negara di dunia yang paling terjejas akibat beberapa kesan perubahan iklim.
Iraq mengalami musim panas keempat berturut-turut dengan kemarau panjang tanpa hujan dan suhu di beberapa bahagian negara itu termasuk ibu kota Baghdad dan di selatan, suhu direkodkan sekitar 50 darjah Celsius.
"Peningkatan suhu ini, ditambah dengan kemarau dan hakikat bahawa kita kehilangan pelbagai sumber adalah satu kenyatan, seruan peringatan untuk Iraq dan dunia.
"Apabila kita melihat keadaan masyarakat yang terjejas ini, kita sebenarnya melihat masa depan kita sendiri.


"Era kepanasan mencapai tahap mendidih sudah tiba dan di sini, keadaan itu boleh dirasai dan dilihat setiap hari," katanya pada akhir lawatan empat hari, mengulangi komen Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, bulan lalu.
Sebelum ini, Guterres dilaporkan berkata, era 'pemanasan global' berakhir dan era 'pendidihan global' bermula.
Beliau menggesa tindakan segera dan berani, selepas saintis mengesahkan Julai adalah bulan paling panas direkodkan dalam sejarah global.
Selain penurunan taburan hujan dan peningkatan suhu, pihak berkuasa Iraq berkata, pembinaan empangan oleh Turkiye dan Iran turut menjejaskan kadar air di sungai Tigris dan Euphrates yang merentasi Iraq.
Di bahagian selatan Iraq, kadar kemasinan yang tinggi menjejaskan penangkapan ikan di laluan air Shatt al-Arab, yang menjadi titik pertembungan sungai Tigris dan Euphrates sebelum mengalir ke Teluk.
Turk yang melawat wilayah selatan, berkata pemimpin masyarakat dan penduduk menunjukkan kepadanya gambar deretan pokok kurma yang hidup subur sejak 30 tahun lalu kini hampir mati di sepanjang laluan air Shatt al-Arab yang kering.
Perdana Menteri Iraq, Mohamed Shia al-Sudani, berikrar untuk menjadikan menangani perubahan iklim sebagai salah satu keutamaannya, tetapi aktivis mengatakan tidak banyak yang dilakukannya.
Turk berkata, terdapat laporan 'keganasan, ugutan dan ancaman bunuh terhadap aktivis alam sekitar' di Iraq.
Salah seorang daripada mereka, jurutera Jassim al-Assadi dari Nature Iraq, kumpulan pemuliharaan terkemuka di negara itu, diculik selama dua minggu pada Februari lalu dan ditahan oleh lelaki bersenjata. - AFP
Ogos 10, 2023 @ 10:57amsumber
Pages: [1]
View full version: Peningkatan ketara suhu global harus jadi pengajaran - PBB


ADVERTISEMENT