Raline Publish time 20-7-2023 07:34 AM

Hirup kopi tepi tebing gunung

Hirup kopi tepi tebing gunung

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/07/5.-kafe-tebing_11zon.png
Pelanggan menikmati hidangan kopi di tepi tebing gunung. - SCMP/Douyin


BEIJING – Sebuah kafe di China menawarkan pengalaman menakjubkan kepada pelanggan apabila menghidangkan minuman mereka di tepi tebing gunung, lapor akhbar South China Morning Post (SCMP) hari ini.

The Cliff Cafe, yang terletak di zon hutan tebal di daerah Libo, selatan wilayah Guizhou menawarkan tempat duduk setinggi 200 meter dari tanah.

Secawan kopi yang dihidangkan berharga 398 yuan (RM251), manakala konsep menarik yang ditawarkan oleh kafe itu tular sejak pelancong mula berkongsi keseronokan mereka di laman media sosial.

Bagi menikmati minuman, pelanggan terlebih dahulu perlu memakai alat keselamatan profesional sebelum mendaki lebih 1.6 kilometer melalui hutan dan tebing gunung dengan ketinggian bersamaan bangunan 70 tingkat.

Mereka kemudian perlu menuruni tangga tali sepanjang 20 meter sebelum sampai ke tempat duduk kayu yang dipasang di tepi tebing gunung.

Selepas itu, barulah pengunjung boleh menikmati pemandangan gunung dan sungai yang menakjubkan, demikian menurut seorang kakitangan pelancongan tempatan.

The Cliff Cafe adalah satu-satunya kafe yang menerapkan konsep sedemikian di China. Ia mula dibuka pada 2019, tetapi dibuka semula pada Jun lalu selepas pengubahsuaian.

Bayaran 398 yuan yang dikenakan kepada pelanggan itu meliputi pakej untuk melawat termasuk insurans, sewa peralatan, perkhidmatan pemandu pelancong dan kopi. – Agensi


Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/07/19/hirup-kopi-tepi-tebing-gunung/

Pages: [1]
View full version: Hirup kopi tepi tebing gunung


ADVERTISEMENT