mattzzx Publish time 5-7-2023 09:03 AM

Dominasi Verstappen sukar dihalang

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/07/LEAD-RED-BULL-JUARA.jpg
SUASANA litar berubah warna jingga kemerahan sebaik sahaja Verstappen menjuarai GP Austria di Litar Red Bull Ring semalam. – FB ORACLE RED BULL RACING

SPIELBERG, Austria – Pelumba Red Bull, Max Verstappen meneruskan kecemerlangan dalam pemburuan gelaran dunia Formula Satu (F1) ketiga apabila begitu dominan ketika menakluki saingan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring semalam.

Kemenangan kelima berturut-turut pemandu kelahiran Belanda itu telah melonjakkannya dengan perbezaan 81 mata berbanding rakan sepasukan, Sergio Perez dalam carta kejuaraan F1.

Menariknya pada saingan GP Austria itu, berlaku perebutan sengit untuk kedudukan podium antara Perez dan pemandu Ferrari, Charles Leclerc di belakang Verstappen.

Akhirnya, persaingan tersebut dimenangi oleh Leclerc susulan bantuan pertahanan hebat daripada rakan sepasukannya, Carlos Sainz sebelum Perez menduduki tempat ketiga.

Terdahulu, Verstappen sudah dijangka menawan Litar Red Bull Ring selepas memenangi acara pecut pada Sabtu selain menjadi pemandu mencatatkan pusingan terpantas pada perlumbaan, sekali gus mengutip mata maksimum pada hujung minggu.

“Ia satu perlumbaan sapu bersih, memang kelas Max, sangat, sangat kelas,” kata bos Red Bull, Christian Horner menghambur pujian melangit kepada Verstappen menerusi radio pasukan.

“Jentera amat menakjubkan,” jawab Verstappen selepas melakar kemenangan ke-42 dalam kerjayanya.

Meskipun gelaran dunia F1 ketiga semakin cenderung untuk dimenanginya, namun Verstappen berkata, dia lebih suka mengharungi perlumbaan pada satu-satu masa tanpa memikirkan apa yang berlaku pada hujung musim.

“Saya tidak suka memikirkan perkara itu buat masa sekarang.

“Saya hanya mahu keterujaan memandu jentera ini dan berlumba buat pasukan ini. Acara pecut pada hujung minggu boleh membuatkan rasa tertekan, jadi saya gembira semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Jumlah kemenangan keseluruhan yang diraih Verstappen sehingga kini telah melonjakkannya ke kedudukan kelima dalam senarai sepanjang zaman dan te­lah mengatasi Ayrton Senna yang meraih 41 kemenangan dalam kariernya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/07/04/dominasi-verstappen-sukar-dihalang/
Pages: [1]
View full version: Dominasi Verstappen sukar dihalang


ADVERTISEMENT