Raline Publish time 28-6-2023 10:17 AM

Malaysian Tigers akhirnya catat kemenangan

Malaysian Tigers akhirnya catat kemenangan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/potl_1687868803.jpg
ANTARA aksi Malaysian Tigers bertemu Korea Selatan pada perlawanan persahabatan terakhir. FOTO MHC


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara menamatkan kempen siri jelajah persahabatan dengan kemenangan selepas menewaskan Korea Selatan 2-1, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Jingcheon, Incheon itu menyaksikan Malaysian Tigers dan Korea Selatan mempamer aksi seimbang pada suku pertama perlawanan apabila tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.

Memasuki suku kedua, Malaysia berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Najin Hassan pada minit ke-28 sekali gus mendahului pada babak pertama.

Korea selatan bagaimanapun bangkit memperkemaskan permainan bagi meraih jaringan penyamaan dan ia nyata berhasil apabila memperolehya menerusi gol padang enam minit selepas babak kedua bermula.

Malaysia kemudiannya sekali lagi memimpin perlawanan pada penghujung suku ketiga, kali ini menerusi penyerang muda negara, Shamie Irfan Suhaimi yang bijak menewaskan penjaga gol Korea Selatan.

Memasuki suku keempat perlawanan, Korea Selatan cuba menaikkan tempo perlawanan bagi mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan negara nyata menjalankan tugas dengan baik apabila berjaya mengelak daripada dibolosi sekali gus menoktahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kempen siri jelajah persahabatan selepas dua seri dan satu kekalahan dalam tiga aksi sebelum ini.

Untuk rekod, aksi persahabatan yang dilalui Malaysian Tigers ini adalah medan pemanas badan buat pemain negara sebagai persediaan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India pada 3 hingga 12 Ogos ini.




Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/06/982099/malaysian-tigers-akhirnya-catat-kemenangan

Pages: [1]
View full version: Malaysian Tigers akhirnya catat kemenangan


ADVERTISEMENT