Raline Publish time 26-6-2023 03:01 PM

Wei Chong-Kai Wun kembali fokus kejohanan seterusnya

Wei Chong-Kai Wun kembali fokus kejohanan seterusnya

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kai44_1687759378.jpg
WEI Chong-Kai Wun meraih gelaran Terbuka Taiwan. FOTO BAM


Kuala Lumpur: Beregu meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mahu terlalu dibuai kejayaan mengekalkan gelaran Terbuka Taiwan selepas mendominasi kejohanan itu pada tahun ini.

Menurut Kai Wun, masih banyak lagi pertandingan yang perlu ditempuh mereka tahun ini sambil berharap momentum yang dimiliki ketika ini dapat dikekalkan ketika menyertai kejohanan akan datang.

"Kami tidak boleh terlalu selesa kerana masih banyak kejohanan yang perlu kami sertai tahun ini. Malah kami juga berharap akan lebih banyak halangan dapat dilepasi pada kejohanan yang akan datang.

"Selepas ini kami akan cuba untuk fokus sekurang-kurangnya berada di suku atau separuh akhir untuk kejohanan yang akan kami sertai selepas ini," katanya.

Terdahulu, pasangan negara itu melengkapkan kejuaraan berganda pasukan Malaysia pada Terbuka Taiwan selepas memenangi aksi final beregu lelaki menewaskan wakil tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Tian-Mu, pasangan yang menghuni ranking ke-23 dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menoktahkan perlawanan dengan kemenangan rubber set 20-22, 21-17, 21-14.

Dalam perkembangan sama, pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky nyata gembira dengan prestasi Chong-Kai Wun yang berjaya mengekalkan gelarannya di Terbuka Taiwan 2023.

Menurut Rexy, dia menyifatkan kejayaan mereka itu akan membantu meningkatkan lagi keyakinan mereka ketika bertanding di kejohanan yang lebih besar selepas ini.

"Ini adalah petanda yang baik buat Man dan Tee yang mana mereka berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

"Saya berharap kejuaraan ini akan jadi pemangkin buat mereka jadi lebih yakin dan percaya dengan kemampuan mereka yang mana ia akan membantu prestasi mereka pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Rexy ketika diminta mengulas berkenaan prestasi Tang Jie-Ee Wei, beliau mengakui pasangan campuran negara itu berjaya mengekalkan momentum yang dimiliki sejak pusingan pertama.

"Mereka memang layak untuk memenangi gelaran ini. Mereka menunjukkan sikap yang baik di kejohanan ini dan ia medan yang bagus untuk kita uji mereka.

"Selepas memenangi kejohanan ini, saya menantikan mereka untuk raih lebih banyak kejayaan dan kekalkan sifat dahagakan kejuaraan untuk Terbuka Korea, Jepun dan Australia yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2023/06/981592/wei-chong-kai-wun-kembali-fokus-kejohanan-seterusnya

Pages: [1]
View full version: Wei Chong-Kai Wun kembali fokus kejohanan seterusnya


ADVERTISEMENT