Raline Publish time 22-6-2023 10:07 AM

Pemuda jual motosikal 125ZR untuk modal ternak ikan kolam

Pemuda jual motosikal 125ZR untuk modal ternak ikan kolam

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/06/jual-motor.jpg?v=1687336897
Mohamad Firdaus menunjukkan benih ikan keli yang diternak di belakang rumahnya di Kedai Mulong, Kota Bharu.


KOTA BHARU – Seorang pemuda berkorban menjual motosikal jenis Yamaha 125ZR miliknya pada harga RM5,000 untuk dijadikan modal permulaan bagi mengusahakan ternakan ikan air tawar di Kedai Mulong di sini.

Mohamad Firdaus Che Mohd. Adnan, 27, berkata, dia mula berjinak-jinak menternak ikan keli, tilapia dan patin di dalam kolam diperbuat daripada kanvas dan simen di belakang rumahnya sejak awal tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini dia me­lanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan makanan dan minuman sebelum membuat keputusan menternak ikan.

“Saya memilih menceburi bidang ternakan ikan air tawar kerana ia senang diusahakan dan mudah untuk dipasarkan. Saya memperoleh kemahiran menternak ikan dengan mengikuti kursus pembenihan ikan.

“Bagi modal permulaan, saya menjual motosikal dan syukur usaha itu berjalan lancar,” kata­nya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohamad Firdaus membe­ritahu, sebagai permulaan, sebanyak 5,000 benih ikan keli, 1,000 tilapia dan 2,000 ekor ikan patin diternaknya untuk dipasarkan di sekitar Kelantan.

Pengorbanan pemuda itu ternyata berbaloi apabila dia berjaya memperoleh pendapatan memberangsangkan mencecah RM5,000 sebulan.

Tambah Mohamad Firdaus, dia memasarkan produk ternakan ikannya melalui akaun media sosial seperti TikTok dan sambutan yang diterima amat mengga­lakkan.

“Saya bersyukur kerana isteri iaitu Nursyuhada Lotfi yang kini sarat mengandung begitu menyokong usaha ini dalam mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.


Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/06/22/pemuda-jual-motosikal-125zr-untuk-modal-ternak-ikan-kolam/

Pages: [1]
View full version: Pemuda jual motosikal 125ZR untuk modal ternak ikan kolam


ADVERTISEMENT