mattzzx Publish time 19-6-2023 03:13 PM

Danial Syahmi raih pengalaman berharga di Jerman

https://assets.bharian.com.my/images/articles/mata_1687146209.jpg
Danial Syahmi (depan) ketika perlumbaan GP Jerman. - Foto ZK Racing

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril memperoleh pengalaman berharga pada penampilan sulungnya di perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Jerman, semalam.

Danial Syahmi yang menggantikan sementara rakan seperjuangan, Syarifuddin Azman dalam pasukan MT Helmets-MSI susulan kecederaan, melengkapkan 23 pusingan perlumbaan di Litar Sachsenring dengan catatan keseluruhan 34 minit 06.332 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat ke-26 daripada 29 pelumba.

Pengalaman beraksi dengan pelumba terkemuka dunia pastinya berharga buat Danial Syahmi dan baginya, dia mampu menunjukkan peningkatan dari sudut catatan masa sepusingan pada setiap sesi sejak hari pertama saingan Jumaat lalu dan ia sesuatu yang positif.

"Saya gembira dengan prestasi saya minggu ini. Setiap hari berjaya menunjukkan peningkatan. Sekarang ini pun sudah meningkat dari hari pertama beraksi," kata Danial Syahmi yang pada musim ini beraksi di Kejuaraan JuniorGP dan Piala Red Bull Rookies.


"Pasukan gembira dan saya juga gembira. Terima kasih atas peluang ini."

Perlumbaan dimenangi pelumba Red Bull KTM Ajo, Deniz Oncu yang mencatat masa terpantas 33'10.531s manakala Ayumu Sasaki (Liqui Moly Husqvarna Intact GP) berada di tempat kedua, 33'10.626s dan Daniel Holgado (Red Bull KTM Tech3) melengkapkan pentas podium di tempat ketiga.

"Pada awal perlumbaan, permulaan saya kurang baik disebabkan ramai pelumba memintas dari belakang dan saya hilang kedudukan. Saya ke kedudukan terakhir sekali tetapi di setiap pusingan saya cuba memperbaiki catatan masa sepusingan dan mengejar kelompok semula selain cuba memintas di setiap selekoh.

"Di pertengahan perlumbaan, tayar semakin haus, catatan masa sepusingan juga masih sama dan kelompok tetap laju untuk mengejar yang berada di depan. Bagi saya, sedikit susah untuk bersaing di Kejuaraan Dunia tetapi saya sudah memberikan sehabis baik.

"Di baki pusingan terakhir, saya cuba bersaing dalam kelompok dan cuba memintas tetapi malangnya di laluan keluar sektor ketiga, saya kurang baik menyebabkan berlaku sedikit jurang tetapi sampai pusingan terakhir saya cuba memintas namun sukar, kerana selekoh yang kecil," katanya.

Dalam pada itu, pelumba negara yang menyertai kelas Moto2 bagi menggantikan Kohta Nozane dari pasukan Correos Prepago Yamaha VR46 Team, Kasma Daniel Kasmayudin menemui garisan penamat di tempat ke-26 daripada 29 pelumba dengan catatan 36'38.746s.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2023/06/1116223/danial-syahmi-raih-pengalaman-berharga-di-jerman
Pages: [1]
View full version: Danial Syahmi raih pengalaman berharga di Jerman


ADVERTISEMENT