CARI-HBZ Publish time 19-5-2023 11:13 PM

Piala Sudirman: Malaysia singkir Denmark untuk ke separuh akhir

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/05/b_20230519_1807_SudirmanCup2023_BPJS7943.jpg


KUALA LUMPUR – Skuad badminton kebangsaan mencapai sasaran mara ke separuh akhir pada saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China selepas menewaskan Denmark 3-1 di pusingan suku akhir sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, Malaysia mengekalkan aksi konsisten apabila semua pemain menampilkan prestasi terbaik ketika menentang wakil Eropah tersebut.

Malaysia meraih mata pertama menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-14, 21-17.

Walaupun membuat perhitungan sulung dengan beregu No.18 dunia itu, namun Tang Jie-Ee Wei langsung tidak menunjukkan rasa gentar sebelum menyumbang mata semangat buat pasukan negara.

Ee Wei berkata, dia pada awalnya agak gemuruh untuk bertemu Christiansen-Boje kerana berada pada ranking lebih rendah di tangga ke-22, namun tuah nyata menyebelahi mereka pada perlawanan itu.

“Kita menerima cabaran tersebut dan berjaya melaluinya dengan baik. Saya sangat gembira kerana berjaya bertarung di dalam gelanggang bagi mendapatkan mata buat Malaysia,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Kemudian, pertemuan yang dinanti-nantikan antara perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dengan Viktor Axelsen hanya bertahan selama lima minit apabila pemain No.1 dunia itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring, sekali gus menjadi mata kedua Malaysia.

Hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan bersih 3-0 ke atas Denmark bagaimanapun tidak kesampaian apabila perseorangan wanita, Goh Jin Wei tewas 14-21, 21-15, 19-21 kepada Mia Blichfeldt dalam aksi yang memakan masa lebih sejam.

Beregu lelaki yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia apabila menewaskan gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.

Menanti Malaysia di pentas separuh akhir esok adalah Korea Selatan yang mengenepikan cabaran naib juara Kumpulan C, Taiwan menerusi kemenangan mudah 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di sebelah pagi.


Sumber – KOSMO! ONLINE

Pages: [1]
View full version: Piala Sudirman: Malaysia singkir Denmark untuk ke separuh akhir


ADVERTISEMENT