mattzzx Publish time 14-5-2023 05:41 PM

Kejayaan Amirul bukan nasib

https://assets.bharian.com.my/images/articles/mana_1684050677.jpg
Anuar Manan membuktikan kayuhannya masih bertenaga apabila muncul juara Kategori Master dan Elit pada Kejohanan Samarahan Bike Challenge 2023 di Kota Samarahan, hari ini. NSTP/MOHD ROJI KAWI

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menyumbang pingat emas dalam acara berbasikal lebuh raya individu lelaki di Sukan SEA Kemboja 2023 membuktikan Malaysia tidak ketandusan pelumba hebat untuk membawa cabaran di peringkat antarabangsa.

Bekas jaguh pecut berbasikal lebuh raya, Anuar Manan, berkata kejayaan Amirul itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana beliau sudah melakar beberapa kejayaan pada kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Anuar percaya, kejayaan Amirul itu juga menyuntik semangat buat pelumba muda khususnya dalam acara lebuh raya untuk mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Kemenangan Amirul bukanlah faktor nasib atau tuah semata-mata kerana dia memang kita ketahui antara pelumba hebat yang bermula dengan Sukan Malaysia (SUKMA).


"Banyak kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya di Taiwan, Thailand dan Jelajah Malaysia sudah dia capai dan tidak mustahil dia unggul di Sukan SEA seterusnya meletakkan Malaysia sebagai kuasa berbasikal lebuh raya Asia Tenggara," katanya.

Anuar berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Kejohanan Samarahan Bike Challenge 2023 di sini, hari ini.

Beliau yang turut menyertai kejohanan itu membuktikan kayuhannya masih bertenaga apabila muncul juara dua kategori, Master dan Lelaki Elit.

Anuar yang kini menjadi jurulatih pasukan berbasikal lebuh raya Terengganu yang akan menyertai SUKMA Sarawak tahun depan yakin kejayaan Amirul itu akan menjadi pendorong kepada pelumba muda untuk mencapai kejayaan lebih tinggi.

"Selain Amirul, kita mempunyai ramai nama besar dalam acara berbasikal lebuh raya seperti Mohamed Hariff Salleh dan pasti ramai pelumba muda mahu menjadi seperti mereka.

"Saya juga akan menggunakan sepenuhnya pengalaman yang saya ada untuk membentuk pelumba muda bukan sahaja jaguh peringkat SUKMA malah akan membawa kejayaan kepada Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya lagi, sukan berbasikal kini semakin mendapat tempat di Malaysia dengan banyak kejohanan tempatan dianjurkan di setiap negeri.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana ramai bakat pelumba muda dicungkil daripada kejohanan kecil anjuran persatuan berbasikal negeri.

"Saya kagum dengan perkembangan ini dan di Sarawak sahaja banyak kejohanan dianjurkan dengan hadiah wang tunai lumayan ditawarkan yang sekali gus menarik penyertaan pelumba dari Semenanjung serta negara jiran," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/05/1101095/kejayaan-amirul-bukan-nasib
Pages: [1]
View full version: Kejayaan Amirul bukan nasib


ADVERTISEMENT