Raline Publish time 30-4-2023 09:49 AM

Merajuk, bermasam muka tak dapat balik kampung?

Merajuk, bermasam muka tak dapat balik kampung?

https://assets.bharian.com.my/images/articles/desa_1681872637.jpg
Tradisi balik kampung kemestian kepada perantau, elakkan konflik pilih destinasi mana dahulu. - Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Berbaki beberapa hari lagi semua umat Islam meraikan Aidilfitri sekali gus pulang ke kampung halaman menjadi topik utama diperkatakan dalam kalangan pasangan suami isteri sehingga menimbulkan polemik rumah tangga.

Bagi pasangan suami isteri yang masih mempunyai ibu bapa dan keluarga di kampung, pasti berhadapan masalah untuk memilih beraya di mana dahulu.

Tidak dapat dielakkan pasti akan berlaku sedikit perbalahan, persengketaan dan malah ada sampai pasangan merajuk dan bermasam muka disebabkan tidak dapat memenuhi kemahuan beraya di kampung.

Bagi menyelesaikan isu ini, rata-rata wanita berkeluarga menganggap persengketaan pasangan suami isteri dapat dielakkan atau diselesaikan jika masing-masing saling memahami dan bertolak ansur dengan membuat perjanjian awal menerusi penggiliran.

Bagi peniaga kain, Siti Rohani Ambok Sulong, 40, meskipun setiap tahun beliau akan pulang beraya ke kampungnya di Muar Johor, keadaan itu tidak pernah menimbulkan masalah atau perbalahan dalam rumah tangga.

Ini kerana, sejak dari sebelum berkahwin lagi sudah membuat perjanjian dengan suami untuk membenarkan pulang berhari raya di rumah ibunya.

Suaminya amat memahami dan membenarkan berbuat demikian kerana akur beliau adalah anak perempuan sulung dalam keluarga.

"Syukur suami amat memahami dan setiap tahun empat hari sebelum Aidilfitri saya akan pulang sendiri ke Muar dan suami pula akan pulang sehari sebelum raya kerana perlu bekerja," katanya.

Ibu kepada tiga anak berusia sembilan sehingga 14 tahun itu berkata, beliau tidak ada masalah untuk memenuhi perjanjian itu disebabkan tinggal berhampiran keluarga mentuanya.

Beliau yang menetap di Ara Damansara berkata, setiap minggu beliau sekeluarga akan pulang ke rumah mentuanya di Bandar Sunway dan menyebabkan suami dan mentua tidak kisah setiap kali Aidilfitri mereka pulang ke kampungnya.


Saling memahami

Bagi kakitangan swasta, Eeda Wen, 30, berasal dari Betong, Sarawak berkata giliran pulang ke kampung berlaku secara semula jadi sejak tiga tahun lalu sehingga kini.


https://assets.bharian.com.my/images/articles/Siti-eeda-Minah_1681872640.jpg

Dari kiri; Siti Rohani, Eeda Wen dan Norminah Syafrial.


Katanya, setakat ini tiada sebarang masalah kerana beliau dan pasangannya saling mengerti bagi menjaga keharmonian rumah tangga.

Katanya, pada 2021 lalu, beliau dan suami berkahwin dan ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 dan hanya bapanya dibenarkan datang ke Semenanjung kerana menjadi wali.

"Pada tahun berikutnya, suami yang mengajak pulang ke kampung saya kerana dia tidak pernah berjumpa dengan ibu lagi.

"Selepas itu, pada Aidiladha kami sepakat pula pulang ke kampung suami di Kota Tinggi, Johor kerana Aidilfitri sebelum itu sudah pulang ke kampung saya," katanya.

Katanya, Aidilfitri kali ini tiba giliran pulang ke kampung suaminya pula dan mereka sudah membuat persiapan lebih awal kerana bimbang berlaku raya mengejut seperti tahun sebelum ini.

Tiada masalah kampung berdekatan

Peniaga sate, Norminah Syafrial, 38, berkata sejak beberapa tahun ini, pagi raya mereka sekeluarga hanya meraikannya di rumah terlebih dahulu.

Dia yang berasal dari Selayang berkata, ini kerana mereka berniaga sate dan mengambil tempahan menyediakan juadah itu setiap Aidilfitri.

"Selepas semua tempahan selesai disiapkan, barulah kami pulang ke rumah keluarga saya di Selayang dan pada hari yang sama ke kampung suami di Kuala Selangor.

"Oleh kerana kampung kami tidak jauh antara satu sama lain, tiada masalah untuk pulang beraya bersama keluarga pada hari yang sama," kata ibu kepada dua anak berusia 12 dan 14 tahun itu.

Sumber:https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2023/04/1091775/merajuk-bermasam-muka-tak-dapat-balik-kampung

Pages: [1]
View full version: Merajuk, bermasam muka tak dapat balik kampung?


ADVERTISEMENT