mattzzx Publish time 29-4-2023 04:35 PM

Danial Syahmi retak buku lali di Jerez

https://assets.bharian.com.my/images/articles/rooki2_1682746475.jpg
Aksi Danial Syahmi di Jerez. FOTO: Ihsan ZK Racing

KUALA LUMPUR: Danial Syahmi Ahmad Shahril menunjukkan semangat tinggi di litar kegemarannya di Jerez, Sepanyol namun insiden dialaminya pada sesi kelayakan meranapkan peluangnya untuk menyertai perlumbaan Pusingan 2 Red Bull Rookies Cup 2023, hari ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu menamatkan sesi latihan bebas dengan masing-berada di tempat ke-14 dan ke-12 sebelum terbabas ketika sesi kelayakan semalam yang menyebabkan dirinya mengalami retak buku lali kiri.

Difahamkan, Danial perlu menjalani pembedahan secepat mungkin dan pihak perubatan mengklasifikasikannya sebagai 'tidak cergas' untuk meneruskan aksi perlumbaan di Jerez.

"Hari ini (semalam), saya menamatkan sesi latihan namun untuk kelayakan pula dalam keadaan tak berapa baik," kata Danial Syahmi. "Trek ini berada dalam senarai kegemaran saya dan saya cuba sebaik mungkin dan dapat keputusan yang baik di sesi latihan pertama dan kedua.


"Namun di kelayakan, saya cuba untuk melakukan lebih baik sebelum terbabas di Selekoh 2 dan ia menyebabkan buku lali retak. Saya dimaklumkan oleh doktor, 'tidak cergas' untuk minggu ini dan saya mohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan saya cepat pulih dan saya akan kembali dengan lebih kuat lagi."

Ini bukan kali pertama kecederaan membelenggu Danial Syahmi selepas pernah mengalami kemalangan serius ketika perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2018. Pada ketika itu, tulang betis kanan Danial Syahmi hancur kira-kira 10 sentimeter (cm) sehingga memerlukan tempoh rawatan panjang sehingga lebih setahun.


https://assets.bharian.com.my/images/articles/29balut_1682746477.jpg
Danial Syahmi retak buku lali yang menyebabkan dirinya tidak dapat beraksi di perlumbaan Pusingan 2 Red Bull Rookies Cup di Jerez. - Foto Ihsan ZK Racing

Ketiadaan Danial Syahmi bakal menyaksikan tumpuan bakal diberikan kepada seorang lagi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang sebelum ini meraih penamat di tempat ketiga pada Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, Mac lalu.

Hakim Danish yang bakal memulakan perlumbaan di Jerez dari petak ke-17 setakat ini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 27 mata sebelum Perlumbaan 1 berlangsung pada malam ini dan Perlumbaan 2, petang esok.

"Hari pertama selesai dengan selamat. Pada sesi pertama saya cuba membiasakan diri dengan litar ini kerana sudah lama saya tidak berlumba disini. Untuk sesi kedua saya tamat di posisi yang agak kebelakang, saya tidak mempunyai keserasian dengan bahagian suspensi jentera saya.

"Pada sesi kelayakan saya tidak berapa konsisten dan saya tidak dapat memberikan yang terbaik kerana percaturan saya sedikit salah. Saya akan cuba sehabis baik untuk perlumbaan esok untuk kembali di kelompok hadapan. Doakan kejayaan saya dan pelumba Malaysia yang lain untuk esok (malam ini)," kata Hakim Danish.

https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2023/04/1095175/danial-syahmi-retak-buku-lali-di-jerez
Pages: [1]
View full version: Danial Syahmi retak buku lali di Jerez


ADVERTISEMENT