mattzzx Publish time 19-4-2023 10:05 AM

Nazim teruja wakili Sime Darby Racing ke PCCA 2023

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SIME_DARBY_RACING_1681815308.jpg
NAZIM bersama kereta Porsche 911 GT3 Cup yang akan digunakannya pada perlumbaan nanti. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Kuala Lumpur: Pasukan negara, Sime Darby Racing bakal membuat kemunculan pertama di Piala Porsche Carrera Asia (PCCA) 2023 dengan kerjasama Earl Bamber Motorsport (EBM).

Pasukan itu yang bersaing dalam kategori PCCA PRO akan menggunakan kereta Porsche 911 GT3 Cup dan dipandu pelumba muda negara yang juga bekas pelumba Formula 3, Nazim Azman.

Bersama-sama dengan EBM, Porsche Malaysia membawakan rakan teknikal yang sangat berpengalaman untuk pasukan Sime Darby Racing.

Nazim mengakui amat berbesar hati kerana diberi peluang beraksi pada perlumbaan itu meskipun ia adalah pengalaman baharu baginya selepas beraksi di Formula 3, sebelum ini.

"Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Porsche Malaysia dan Earl Bamber Motorsport untuk mewakili Pasukan Sime Darby Racing di Piala Porsche Carrera Asia 2023.

"Memandangkan ini adalah kali pertama saya berlumba menggunakan kereta GT semusim penuh, saya percaya peluang ini akan meluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan dalam perlumbaan GT.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas sokongan yang diberikan dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan akan datang.

"Sudah pasti lebih gembira jika dapat meraih beberapa kemenangan," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pasukan Sime Darby Racing, hari ini.

Malaysia diberi penghormatan untuk membuka tirai perlumbaan musim 2023 diikuti di Korea Selatan, Jepun, Thailand, Singapura dan berakhir di Shanghai, China.

Perlumbaan di Malaysia akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi Pusingan 1 dan 2 pada 28 hingga 30 April. Siri itu kemudian akan menjelajah ke seluruh rantau Asia sebelum kembali ke Malaysia untuk pusingan 9 dan 10 pada 25 hingga 27 Ogos depan.

https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2023/04/958447/nazim-teruja-wakili-sime-darby-racing-ke-pcca-2023
Pages: [1]
View full version: Nazim teruja wakili Sime Darby Racing ke PCCA 2023


ADVERTISEMENT