mattzzx Publish time 13-4-2023 02:52 PM

Damok semakin membara

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dmok_1681366941.jpg
DAMOK raih keputusan positif di Argentina. FOTO MT Helmets-MSI

Kuala Lumpur: Selepas persembahan terpuji di Argentina pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman berazam mengulangi aksi sama menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Americas di Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.

Menurut pelumba dikenali sebagai Damok itu, dia berharap dengan dorongan terbaik pasukannya mampu memberi kelebihan pada perlumbaan pusingan ketiga minggu ini.

"Alhamdulillah selepas keputusan baik di Argentina, saya kini lebih gembira dan positif. Pasukan saya juga bersedia memberikan yang terbaik dalam pusingan ketiga di Austin," kata pelumba pasukan MT Helmets-MSI itu.

Dia mula mencetuskan impak apabila berjaya mengutip lima mata pertamanya musim ini di GP Argentina selepas menamatkan saingan tempat ke-11 di Litar Termas de Rio Hondo.

"Sasaran saya untuk mencapai kelompok ke-15 terbaik dalam setiap sesi dan akan cuba sehabis baik untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam perlumbaan kali ini," katanya.

Syarifuddin yang berusia 21 tahun berkata, dia melakukan kajian litar itu memandangkan ini kali pertama dia menjejak kaki di Litar Americas (COTA).

"Ini kali pertama saya di litar ini dan saya membuat beberapa ulangkaji dalam litar dengan menonton perlumbaan tahun lepas untuk mengkaji sedikit sebanyak berkenaan litar ini.

"Justeru, saya harapkan doa dari semua untuk saya dalam perlumbaan pusingan ketiga ini," ujarnya.

Kejayaan mengutip lima mata menyaksikan Syarifuddin ketika ini menghuni kedudukan ke-17 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3 dengan Daniel Holgado dari Sepanyol berada di tempat pertama (38 mata) manakala Diogo Moreira kedua (36 mata) dan Tatsuki Suzuki ketiga (27 mata).

https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2023/04/956484/damok-semakin-membara
Pages: [1]
View full version: Damok semakin membara


ADVERTISEMENT