mattzzx Publish time 12-4-2023 08:37 AM

Nasir gembira badang bebas kes doping

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/nasir_1681209981.jpg
NASIR gembira tiada isu doping babit atlet angkat berat negara ke Sukan Sea Kemboja. FOTO BERNAMA

Putrajaya: Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Nasir Ali lega selepas skuad angkat berat negara tidak terpalit dengan kes doping baharu menjelang temasya berlangsung dari 5 hingga 17 Mei itu.

Nasir yang juga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, barisan atlet negara 'dipantau rapi' ketika mereka membuat persiapan untuk beraksi di temasya itu.

Katanya, rata-rata barisan atlet ketika ini menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil.

"Saya cukup gembira kerana setakat ini kita tiada sebarang kes (doping), kita memantau mereka dengan sangat rapi.

"Angkat berat sentiasa dikaitkan dengan doping, tetapi pada masa ini mereka bersih daripada isu itu dan ia sangat bagus," katanya ketika ditemui selepas larian obor Sukan Sea Kemboja di perkarangan Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Malaysia terpalit dengan beberapa kes doping sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk tiga kes ketika saringan sebelum Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu dan dua kes ketika berlangsungnya pertandingan.

Nasir berkata, skuad angkat berat negara mengintai satu perak dan satu gangsa pada Sukan Sea kali ini walaupun ketiadaan dua atlet terbaik mereka iaitu Aznil Bidin dan Aniq Kasdan yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

"Aniq dan Aznil tidak akan ke Kemboja kerana mereka bersaing dalam acara kelayakan Olimpik Paris 2024 (Kejohanan Asia) di Korea Selatan.

"Walaupun sasaran yang kami tetapkan tidak setinggi sukan lain, kami tetap menyasarkan pingat dan berharap Erry Hidayat (bawah 73kg lelaki) dan Atikah Mohamad Sobri (bawah 59kg wanita) serta yang atlet lebih muda dapat mempamerkan prestasi terbaik.

"Dalam sukan angkat berat, kuncinya ialah memastikan atlet sentiasa fokus dan bersedia dari segi mental," kata Nasir.

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/04/955836/nasir-gembira-badang-bebas-kes-doping
Pages: [1]
View full version: Nasir gembira badang bebas kes doping


ADVERTISEMENT