Raline Publish time 18-3-2023 08:15 AM

'Sumpahan' kad merah

'Sumpahan' kad merah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MFLREDCARD1_1679094910.jpg
PEMAIN Perak FC dilayangkan kad merah ketika bertemu Sri Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin. FOTO Facebook Malaysian Football League.


Kuala Lumpur: Jika ada anugerah kad merah paling banyak, Perak FC mendominasi kategori itu selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu perlawanan Piala FA, setakat ini.

Ini kerana, skuad The Bos Gaurus sudah mengumpul empat kad merah dalam tiga daripada enam perlawanan diharungi itu dan lebih malang, semua kad merah itu diraih di depan penyokong sendiri di Stadium Perak di Ipoh.

Dua pemain Perak FC iaitu tonggak import, Sunday Kolawole Afolabi dan Ahmad Haziq Ahmad Puad mengutip kad merah ketika tewas 1-4 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pertama Liga Super.

Fadhil Idris pula dibuang padang ketika tewas 1-2 di tangan Sri Pahang FC pada aksi pusingan pertama Piala FA, 8 Mac lalu.

Pungutan kad merah Perak FC berterusan, malam kelmarin apabila Muhammad Nasrol Amri Kamarul Azhar menjadi pemain keempat dibuang padang menyebabkan Perak FC kecundang 0-3 di tangan Sri Pahang.

Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berkata, dia tidak meletakkan semua kesalahan pungutan kad merah kepada pemain yang menyebabkan pasukan tewas.

Beliau berkata, kebanyakan situasi kad merah membabitkan pemainnya tidak diketahui punca kerana tidak dapat melihat secara jelas, sekali gus enggan memperbesarkan isu terbabit.

"Kita mesti lihat apa yang menyebabkan mereka mendapat kad kuning atau merah, namun saya tidak mahu bercakap lebih lanjut berkaitan keputusan itu kerana mungkin boleh dikenakan tindakan.

"Mungkin ada salah pemain dan diharapkan perkara itu dapat dielakkan kerana menjejaskan corak permainan pasukan apabila terpaksa bermain 10 orang saja.

"Pada perlawanan dengan Sri Pahang malam tadi (malam kelmarin), saya tak berapa pasti bagaimana pemain kena kad merah. Namun sudah pastinya menjejaskan permainan Perak FC," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol Sri Pahang dijaringkan Kpah Sherman pada minit ke-12, Sfefano Brundo (minit ke-34) dan Zuhair Aizat Mohd Nazri(minit ke-74).

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2023/03/946898/sumpahan-kad-merah

Pages: [1]
View full version: 'Sumpahan' kad merah


ADVERTISEMENT