Raline Publish time 14-3-2023 07:13 AM

Cantik, cekap, tangkas

Cantik, cekap, tangkas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1678337376%281%29WEBBB_1678402814.jpg
PENGAWAL peribadi profesional wanita, Ameyza.

PERLU sentiasa berwaspada dan bersedia mengorbankan nyawa untuk melindungi majikan atau orang kenamaan ( VIP) yang diamanahkan.

Demikian antara tuntutan tugas yang perlu digalas Ameyza Ya'acub apabila memilih kerjaya sebagai seorang pengawal peribadi di sebuah syarikat swasta.

Bunyinya agak merbahaya namun sesuai dengan risiko tinggi yang perlu dihadapi, ia juga memberi pulangan yang sepadan.

Menurut Ameyza, tugas seorang pengawal peribadi bermula dari VIP berkenaan keluar dari rumah sehinggalah kembali ke rumah.

Tidak kira ke mana sahaja majikan atau VIP itu pergi sama ada bekerja, bercuti mahu pun membeli-belah, Ameyza perlu sentiasa berada di sisi.

"Pengawal peribadi perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan di sekeliling ketika bekerja, tidak boleh alpa walau seminit pun.

"Ini kerana keselamatan dan nyawa VIP itu terletak di bawah tanggungjawab pengawal peribadi dan kami juga perlu menjadi perisai sekiranya terdapat ancaman keselamatan," katanya kepada Harian Metro.

Bukan calang-calang wanita, sebaliknya Ameyza, 35, sebelum ini adalah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebelum menamatkan perkhidmatan pada penghujung 2019.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1678337376%283%29_1678402817.jpg
BEKAS anggota UTK PDRM yang kini beralih ke bidang keselamatan swasta.

Jelas Ameyza, untuk menjadi pengawal peribadi profesional di negara ini, seseorang itu perlu menjalani kursus asas pengawal peribadi.

Selain itu, kemahiran menggunakan senjata api dan ilmu mempertahankan diri juga diperlukan.

Katanya, antara orang kenamaan yang pernah mendapat khidmatnya (ketika masih berkhidmat dengan PDRM) adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu menjawab jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Masing-masing memberi pengalaman tersendiri kepada saya yang bertugas sebagai juruiring kepada mereka ketika itu.

"Datuk Seri Dr Wan Azizah misalnya, seorang majikan yang baik dan prihatin menjaga kebajikan kami (pengawal peribadi).

"Biarpun hanya setahun lebih berpeluang berkhidmat kepada beliau, kebaikan yang ditunjukkan masih berbekas di hati," katanya.

Menurut anak kelima daripada enam beradik dari Kuala Krai, Kelantan itu lagi, dia juga sudah lali berdepan cemuhan orang awam yang kurang memahami tugas seorang pengawal peribadi.

Katanya, kata-kata kesat dan kurang sopan sudah biasa didengari ketika dia menjalankan tugas mengawal orang kenamaan.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1678337377%281%29_1678402819.jpg
KELUARGA yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

"Kadang-kadang mereka (orang awam) tidak faham

apabila diminta diberi ruang atau berundur ke belakang, beranggapan kami seperti lebih sudu dari kuah.

"Sedangkan kami hanya menjalankan tugas untuk memastikan orang kenamaan itu selamat daripada sebarang risiko.

"Namun, Alhamdulillah sepanjang menjadi seorang pengawal peribadi sama ada ketika dalam kerajaan atau swasta, belum pernah lagi saya berhadapan atau mengalami kejadian yang mencemaskan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya ke sektor swasta, Ameyza mengakui antara faktornya adalah disebabkan tawaran gaji yang sukar ditolak selain mahu beralih angin.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1678337376%284%29_1678402822.jpg
ANTARA orang kenamaan yang pernah mendapat khidmatnya.

Kata Ameyza, meskipun pada awalnya ibu dan bapanya agak keberatan untuk memberi keizinan kerana sudah selesa dengan kerajaan namun mereka akhirnya memberi restu dan kini menjadi tulang belakangnya.

Katanya, dari segi masa, memang tidak jauh berbeza kerjayanya sekarang berbanding dahulu kerana seorang pengawal peribadi terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga.

"Cuti perayaan atau cuti umum contohnya, jarang dapat bersama keluarga kerana ketika itu ada orang kenamaan yang kita jaga pergi bercuti dan perlu ikuti.

"Apapun saya tidak menyesal kerana kerjaya berisiko tinggi ini adalah pilihan saya sendiri," katanya.

Sementara itu, untuk mengekalkan tahap kecergasan yang penting untuk kariernya, Ameyza akan berjoging atau mengunjungi pusat kecergasan.

Bagi mengisi masa terluang pula, dia banyak menghabiskan masa berehat di rumah, bersenam atau melakukan aktiviti seperti mendaki gunung dan selam skuba.

"Pengawal peribadi perlu sentiasa bersedia mental dan fizikal kerana bergantung kepada tugasan yang diberi, tidak tahu akan dapat orang kenamaan yang macam mana.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1678337377%282%29_1678402825.jpg

PENGAWAL keselamatan perlu memiliki tahap kecergasan yang tinggi.
"Apapun, dalam masa 10 tahun lagi sekiranya masih ada kudrat, saya mahu terus berkhidmat sebagai pengawal peribadi selain mengembangkan perniagaan sendiri bersama rakan," katanya.



Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/03/944046/cantik-cekap-tangkas


Pages: [1]
View full version: Cantik, cekap, tangkas


ADVERTISEMENT