Raline Publish time 14-3-2023 07:11 AM

Motif kebanggaan Iban

Motif kebanggaan Iban

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1_58166728_EDITcut_1678489285.jpg
HELENA bangga dapat angkat tradisi bangsanya menerusi motif pua kumbu.

SUDAH namanya wanita, dikurniakan dengan naluri keibuan yang menjadikan individu itu sanggup membelakangkan kepentingan diri.

Tidak bermakna naluri itu menyebabkan wanita seorang yang mudah mengalah sebaliknya menjadi kekuatan dalam menyokong institusi keluarga.

Baik dari seorang anak sehinggalah menjadi isteri dan ibu, golongan ini rela berkorban demi kelangsungan hidup keluarga.

Begitulah senario perjalanan hidup Helena David Kalum, 49, sebelum bergelar pengusaha seramik selama lapan tahun.

Pengasas Helena Craft Borneo itu berkata, beliau mengabdikan diri untuk keluarga sebelum memulakan kerja dalam pembuatan kraf berasaskan seramik kira-kira lapan tahun lalu.

"Saya bermula lewat iaitu penghujung usia 30-an untuk belajar kraf iaitu dalam seni pembuatan seramik kemudian memulakan perniagaan pada tahun 2015.

"Disebabkan saya bermula lewat, saya perlu cari kelainan supaya produk seramik saya berbeza dengan pembuat seramik yang lebih lama bertapak.

"Idea menghasilkan pinggan seramik dengan lukisan tangan timbul dan eksperimen berhasil kerana kerja tangan saya dikenali menerusi produk terbabit," katanya.

Kata Helena, beliau sebelum ini suri rumah dan fokus membesarkan anak dan tidak pernah terfikir memiliki legasi perniagaan apatah lagi membawanya jauh ke luar Sarawak.

"Saya tidak pernah terfikir sesuatu yang bermula sebagai hobi boleh menjadi kerjaya yang boleh saya banggakan.

"Pendidikan saya hanya di peringkat sekolah sahaja dan saya juga datang dari keluarga petani yang tinggal di rumah panjang di jauh di pedalaman.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/5a_58166769_1678489287.jpg
BERPELUANG mengembangkan bakat hanya selepas anak membesar.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/6_58166775_1678489289.jpg

HELENA bersama produk rantai dan pinggan seramik.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/4b_58166757_1678489291.jpg
HELENA teruja melatih generasi muda dalam pembuatan seramik.

"Kehidupan saya sebelum ini hanya dalam kitaran keluarga dan saya anak sulung daripada sembilan beradik terpaksa berkorban termasuklah berkahwin di usia 17 tahun bagi mengurangkan beban keluarga," katanya.

Pengorbanan mula membuahkan hasil apabila anak beliau sudah meningkat dewasa membuatkannya memiliki ruang tersendiri untuk meneroka kemahiran diri menerusi pembuatan kraf seramik.

Pada masa sama, beliau terharu kerana sebagai pendatang baru dalam industri kraf berasaskan seramik, ramai memperakui hasil kerja tangan terutama lukisannya dengan motif pua kumbu sebagai kerja tangan berkualiti tinggi.

"Suatu yang penting pada produk kraf saya hasilkan baik pinggan atau gelang seramik, motif yang diketengahkan adalah kebanggaan suku etnik saya iaitu suku Iban.

"Apabila saya berjaya bawa ke luar dari Sarawak dan diperkenalkan di seluruh negara itu sumbangan saya untuk masyarakat Iban, Sarawak.

"Lebih bermakna untuk saya dan juga kraf motif pua kumbu apabila terpilih antara pempamer akan menyertai delegasi Istana Negara ke London pada Mei nanti," katanya.

Kata Helena, tiada istilah terlewat jika wanita sanggup bekerja keras dan tekad untuk mencapai yang terbaik dalam perkara disukai.

"Bidang kraf ini bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi sebagai kerjaya. Pengalaman saya setakat sekolah rendah apabila bertemu dengan pelajar yang mengambil bidang ini sampai ke peringkat universiti mendapati kebanyakan mereka memiliki sikap melepaskan batuk ditangga.

"Mereka belajar hanya untuk syarat dan tidak terfikir untuk meneruskan karier dalam bidang terbabit.

"Saya cuba ubah prespektif dan melihat bidang kraf juga mampu pergi jauh jika berfikir secara positif serta kreatif," katanya yang juga dilantik sebagai tenaga pengajar kraf di Sarawak membantu pelatih kraf dalam latihan berkaitan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/03/944369/motif-kebanggaan-iban

Pages: [1]
View full version: Motif kebanggaan Iban


ADVERTISEMENT