Raline Publish time 14-3-2023 07:10 AM

Sibuk selepas bersara

Sibuk selepas bersara

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_0861_1678662013.jpg
MEMPUNYAI pengalaman yang hebat dalam dunia tenpin boling. - FOTO Arkib NSTP

LEBIH 30 tahun dahulu, Kuala Lumpur menjadi saksi kecekalan sebutir bintang negara. Ketika itu, beliau masih di alam persekolahan.

Jam 5 pagi sudah bangun dan menyiapkan segala keperluan ke sekolah. Pasti tidak ditinggalkan di dalam beg galas, pakaian sukan untuk 'bekalan' di sebelah petang.

Bas mini dari Cheras dan Kampung Attap menjadi pengangkutan utamanya ke sekolah kemudian menuju ke pusat latihan terletak di Asia Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Tiada istilah menyesal buat dalam diri beliau kerana kurang menikmati kemanisan dunia sosial kanak-kanak dan remaja yang lain.

Baginya setiap manusia mempunyai pilihan rasa bahagia tersendiri dan dunia sukan adalah kebahagiaan peribadinya.

Pada usianya 16 tahun, beliau sudah melakarkan kejayaan yang cukup besar apabila menjuarai Kejohanan Kent-Malaysian All- Star pada 1994 dan paling membanggakan beliau adalah rakyat Malaysia yang pertama merekodkan kejayaan itu.

Pada hemat penulis, wanita itu yang bakal mencecah usia 45 tahun pada 28 Mac ini lebih layak daripada gelaran ratu kerana beliau adalah 'raja tenpin boling negara' sebenar!

Mana tidaknya, dalam tempoh lebih tiga dekad pemilik nama Datuk Shalin Nazirah Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Datuk Shalin Zulkifli sudah mewangikan nama negara sehinggakan pada hari ini masih belum ada kelibat mana-mana bakat yang mampu memecahkan rekod yang dilakarnya.

Bergelar juara dunia sebanyak lima kali, meraih empat emas di Sukan Asia, muncul juara Asia sebanyak tiga dan 20 kali mewakili negara di temasya Sukan Sea.

"Always plays for your country, your country come first!," begitulah ingatan tulus pemegang Anugerah Olahargawati Malaysia 1994,1996, 1997, 2001 dan 2002 itu ketika berucap sebaik sahaja menerima Anugerah Ikon Sukan Harian Metro (AISHM) pada Januari lalu.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_0868_1678662022.jpg
SHALIN menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong. - FOTO Bernama

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_0854_1678662018.jpg
JAGUH lompat pagar 110 meter negara, Nur Herman Majid dan (kiri) Datuk Shalin Zulkifli menjulang piala masing-masing selepas diumumkan Olahragawan/Olahragawati Kebangsaan 1994. - FOTO Arkib NSTP


Ketika beliau berada di atas pentas AISHM, itulah kali pertama penulis melihat beliau secara dekat. Ternyata aura Datuk Shalin memukau seluruh dewan dalam acara prestij berkenaan.

Dalam temu bual bersama penulis sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, nada setiap jawapan yang diberikan cukup santai tetapi berisi pengalaman.

Selama 30 minit perbualan bersama sang raja tenpin boling negara yang bersara pada Januari 2021 sebenarnya bukan bererti beliau sudah meninggalkan dunia itu sepenuhnya.

"Iya saya sudah bersara tetapi makin sibuk!," katanya sambil ketawa kecil. Kini Datuk Shalin diberi pelbagai amanah untuk membantu memajukan lagi skuad kebangsaan negara. Setaralah pengalaman besar dimilikinya.

Ternyata bukan mudah untuk wanita bernama Datuk Shalin ini kerana harapan negara begitu besar terhadap dirinya untuk membawa pingat emas.

Antara cabaran terbesar yang dikongsikan kepada penulis apabila dia tidak berjaya membawa emas kepada Malaysia menerusi Sukan Komanwel 1998.

"Saya dan rakan pasukan Lai Kin Ngoh hanya mampu menghadiahkan perak kepada negara. Sudah pasti rasa amat sedih. Emosi saya terganggu. Prestasi permainan juga menurun.

"Saya mencari penyelesaian dengan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (pengkhususan psikologi dan latihan sukan) di Universiti Malaya (UM)," katanya.

Jelasnya, ketika melanjutkan pengajian beliau membaca banyak naskhah autobiografi berkaitan psikologi dan sukan. Sehingga hari ini beliau adalah pengumpul naskhah-naskhah berkenaan.

"Bagi saya pengurusan psikologi amat penting bagi seorang atlet kerana kekuatan fizikal itu biasanya diberi keutamaan tetapi dari segi psikologi jarang diberi perhatian.

"Hakikatnya kekuatan psikologi perlu mantap seiring dengan kekuatan dan teknik sukan yang kita ceburi kerana ia juga adalah kunci kemenangan," katanya.

Katanya, apabila mendalami mengenai pengurusan psikologi, dia mampu bangkit semula selain prestasi permainannya bertambah baik dan kembali mengharumkan nama negara di persada dunia.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_0859_1678662027.jpg
BERSAMA rakan sepasukan yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. - FOTO Arkib NSTP
Bercerita mengenai kehidupan peribadi, Datuk Shalin berkata, dia dan suaminya, Azidi Ameran iaitu bekas atlet tenpin boling negara yang juga pernah menjadi pemain nombor satu Asia mempunyai tugas harian yang amat padat.

Beliau dan suami mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang puteri, Aleya Azidi yang kini berusia 12 tahun.

Katanya, beliau dan suami tidak mempunyai pembantu rumah dan menguruskan Aleya sendiri. Sehingga kini, puteri tunggalnya setia menjadi pemerhati paling dekat dalam kerjaya sukan ibu dan ayahnya.

"Sebaik habis pantang, Aleya saya bawa untuk menjalani latihan kerana kami tidak mempunyai pembantu rumah.

"Dia anak yang cukup baik kerana tidak pernah meragam ketika saya menjalani latihan. Seolah-olah memahami ibunya perlu memberi fokus ketika berlatih. Malah, dia juga mengikuti saya ke pelbagai kejohanan dan latihan di Malaysia dan luar negara," katanya.

Ditanya mengenai minat Aleya di dalam dunia tenpin boling, katanya, Aleya lebih berminat dalam sukan hoki. Sekali gus, tidak mengikut jejak beliau dan suami sebagai atlet tenpin boling negara.

"Saya dan suami tiada masalah mengenai pilihan Aleya kerana kami percaya minat adalah perkara pertama untuk menjadikan seseorang itu berjaya," katanya.

Mengenai Hari Wanita Sedunia, katanya, wanita di Malaysia perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana sentiasa diberi peluang di dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

"Saya masih ingat lagi, terdapat seorang rakan atlet dari luar negara yang mengatakan bahawa dia cukup memandang tinggi dengan saya kerana sentiasa diberi penghormatan di negara sendiri. Perkara itu membuatkan saya tertanya-tanya, adakah dia tidak diberi penghormatan walaupun sudah bergelar atlet?

"Rupanya di negaranya atlet wanita diletakkan sebagai golongan kelas kedua. Jika ada kejohanan utama, wanita tidak diberi peluang untuk menyertainya. Berbanding kita di Malaysia, bersifat ekuiti iaitu setiap individu mendapat keperluan masing-masing," katanya.

Katanya, bakat-bakat baharu dalam dunia sukan perlu mengambil peluang yang ada di Malaysia dan sentiasa berkerja keras untuk menyumbangkan pingat kepada negara.

"Hargai peluang yang ada dan lakukan untuk negara. Bukan sekadar diri sendiri," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/03/945047/sibuk-selepas-bersara


Pages: [1]
View full version: Sibuk selepas bersara


ADVERTISEMENT