Raline Publish time 14-3-2023 07:08 AM

Tumbukan padu Amisha

Tumbukan padu Amisha

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IP080323LM084_1678746613.jpg
NUR Amisha mahu membantu melahirkan lebih ramai atlet wanita.

DALAM sukan Muay Thai, Nur Amisha Azrilrizal antara jaguh wanita negara yang disegani di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Kombinasi tumbukan padu dan sepakan deras yang dimiliki bekas juara dunia remaja yang berasal dari Ipoh, Perak ini menjadikannya cukup digeruni lawan.

Pada usia 21 tahun, deretan kemenangan luar biasa yang diperoleh sejak terbabit dengan seni mempertahankan diri itu seawal usia tujuh tahun, sudah cukup membuktikan kemampuannya dalam sukan terbabit.

Anak sulung daripada dua beradik ini mengharumkan nama negara di mata dunia apabila memperoleh masing-masing pingat emas di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Thailand pada 2016 dan Turki (2019).

Bukan itu sahaja, anak murid jurulatih Muay Thai negara, Bernard Radin itu turut meraih pingat gangsa dan perak di Sukan Sea di Filipina dan Vietnam.

Nur Amisha berkata, sebelum terbabit dengan sukan Muay Thai beliau pernah menjadi mangsa buli.

Akuinya, minat terhadap sukan Muay Thai tercetus ketika mengikut bapanya ke gimnasium untuk memperkenalkan seni mempertahankan diri itu kepada adik lelakinya.

"Apabila melihat sendiri, saya tertarik untuk mencuba biarpun tiada pelatih wanita. Melalui sukan ini saya dapat membentuk diri menjadi seorang berani dan dihormati.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IP080323LM124_1678746610.jpg
DISIPLIN ketika menjalani latihan.

"Jurulatih Bernard melihat potensi saya miliki dan menawarkan saya menjadi anak muridnya. Sejak itu, bakat saya diasah sehingga meraih banyak kejayaan besar dalam negara dan peringkat dunia sehingga kini," katanya.

Menurutnya, kejayaan dikecapinya bukan satu perjalanan mudah kerana ia menuntut komitmen, disiplin dan fokus yang tinggi.

"Dari kecil saya perlu mengorbankan zaman kanak-kanak untuk menjalani latihan yang ketat untuk menjadi atlet Muay Thai berjaya," katanya.

Mengulas lanjut, setiap hari beliau perlu mengikuti jadual latihan ditetapkan jurulatih.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IP080323LM075_1678746615.jpg
BERSAMA barisan jurulatih dan rakan pelatih yang banyak membantu Nur Amisha.

"Seawal jam 7 pagi, saya bersama rakan pelatih berlari 10 kilometer sebelum kembali ke gimnasium untuk menjalani latihan kecergasan. Pada sebelah petang sekali lagi kami berlari dan kembali semula untuk latihan taktikal. Kadangkala kami menjalani latihan untuk membina otot.

"Selain itu, latihan membina kekuatan mental turut dilakukan supaya tidak cepat 'koyak' apabila berada dalam pertandingan sebenar," katanya.

Katanya, kekuatan mental adalah aspek terpenting dalam sukan Muay Thai untuk membantu atlet terus berjuang dalam gelanggang sehingga titisan 'darah terakhir.'

"Sebaik sahaja melangkah masuk dalam gelanggang, minda perlu berfikir bahawa gelanggang ini adalah rumah kita. Kalah atau menang adat pertandingan, paling utama adalah serlahkan kemampuan diri sebaik mungkin," katanya.

Nur Amisha berkata, sebagai wanita cabaran yang dihadapi adalah melawan diri sendiri kerana latihan Muay Thai sangat lasak yang bertujuan meningkatkan kekuatan mental dan fizikal.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IP080323LM107_1678746620.jpg
SOKONGAN keluarga memberi kekuatan kepada Nur Amisha dalam sukan Muay Thai.
"Layanan sama rata diberikan tidak kira lelaki atau wanita. Sebagai wanita sudah pasti ia amat mencabar kerana perlu berlatih dengan pelatih lelaki yang mempunyai kekuatan berbeza.

"Bagaimanapun, dari sudut positif, ia bukan sahaja dapat membina kekuatan fizikal, malah secara tidak langsung membentuk kekuatan mental apabila berdepan lawan yang lebih kuat dari luar negara seperti Iran, Russia dan Thailand dalam pertandingan sebenar," katanya.

Biarpun begitu, beliau bersyukur berada dalam persekitaran positif dengan dikelilingi individu yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Saya pernah berada di tahap paling bawah dalam karier apabila ramai mempertikaikan kemampuan selepas gagal meraih emas ketika pertama kali menyertai Sukan Sea. Pada ketika itu saya akui ada terfikir untuk berhenti daripada sukan ini.

"Namun, saya kembali bangkit menerusi sokongan ibu bapa, jurulatih dan rakan pelatih dengan membuktikan masih berbisa pada Sukan Sea edisi berikutnya," katanya.

Sebelum ini, beliau menyedari tidak ramai wanita terbabit kerana salah faham berkaitan seni mempertahankan diri ini yang dikatakan amat bahaya dan ganas.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IP080323LM136_1678746618.jpg
BERNARD (kanan) berjaya mencungkil potensi Nur Amisha sejak kecil.

"Sebenarnya sukan ini amat selamat kerana alat pelindung perlu dipakai daripada atas sehingga bawah dan mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi," katanya.

Bagaimanapun, kini beliau melihat perubahan mula berlaku apabila ramai pihak sudah boleh menerima pembabitan wanita dalam sukan ini.

"Sejak kebelakangan ini, ramai wanita mula terbabit secara serius kerana ia penting untuk melindungi diri. Saya bersyukur pembabitan dalam sukan ini memberi inspirasi kepada wanita untuk menyertai Muay Thai," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, beliau berhasrat mengembangkan kariernya ke peringkat lebih tinggi termasuk cuba memenangi pingat emas di Sukan Sea dan Kejohanan Muay Thai Dunia.

"Kemudian saya ingin menjadi jurulatih Muay Thai wanita untuk melahirkan lebih ramai pelapis menggantikan tempat saya dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang," katanya.



Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/03/945415/tumbukan-padu-amisha


Pages: [1]
View full version: Tumbukan padu Amisha


ADVERTISEMENT