mattzzx Publish time 12-3-2023 11:27 AM

THT kekal gelaran trofi Liga Hoki Malaysia

Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho mengumpul 40 mata untuk 'gah' di persada liga manakala pasukan pelawat bimbingan bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati di tangga kedua dengan 34 mata.

Berbekalkan sokongan padu lebih 2,000 peminat setia, skuad The Turtles bermula garang dengan mendapat tiga pukulan sudut penalti pada aksi suku pertama, namun jaringan yang dicari gagal dijelmakan pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun.

Memasuki suku kedua, tuan rumah yang kerap mengasak kubu pelawat sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti, bagaimanapun masih gagal menembusi gawang pelawat yang dikawal Mohammad Hairi Abd Rahman.

Sedar kerap diasak tuan rumah, menerusi serangan pantas, pemain kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melakukan pukulan kilas untuk jaringan sulung perlawanan hasil jaringan padang pada minit ke-30 untuk TNB mendahului 1-0.

Ketinggalan satu gol tidak membuatkan pemain THT tertekan, sebaliknya terus mengasak kubu lawan, hasilnya pemain tengah, Abdul Khaliq Hamirin melakukan pukulan kencang untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-35.

THT yang hanya memerlukan seri untuk merangkul trofi kedua musim ini selepas Piala Sumbangsih kian bersemangat untuk menambah jaringan selepas mendapat empat lagi pukulan sudut penalti, namun kekebalan benteng pelawat menggagalkan usaha berkenaan.

Sebaliknya pelawat yang mendapat pukulan sudut penalti pertamanya pada aksi suku ketiga tidak melepaskan peluang keemasan itu apabila mendahului tuan rumah 2-1 hasil jaringan seorang lagi pemain kebangsaan, Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit ke-42.

THT yang mendapat tiga pukulan sudut penalti pada aksi suku keempat berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Jonghyun pada minit ke-47.

Ketika perlawanan berbaki beberapa saat untuk ditamatkan, Jonghyun menamatkan saki baki perjuangan TNB apabila meledak gol kemenangan yang juga gol kedua peribadinya untuk keputusan muktamad kekal 3-2 memihak kepada THT.
Disiarkan pada: Mac 11, 2023 @ 7:40pm

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/THT_1678559284.jpg
PEMAIN THT meraikan kemenangan selepas menumpaskan pasukan TNB dengan jaringan 3-2 sekali gus muncul sebagai Juara MHL 2023 di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO GHAZALI KORI

https://www.hmetro.com.my/arena/hoki/2023/03/944606/tht-kekal-gelaran-trofi-liga-hoki-malaysia-metrotv
Pages: [1]
View full version: THT kekal gelaran trofi Liga Hoki Malaysia


ADVERTISEMENT