mattzzx Publish time 25-2-2023 09:55 AM

Trio berbasikal wanita catat rekod baharu

https://assets.bharian.com.my/images/articles/peni_1677250575.jpg
Trio berbasikal wanita dari kiri, Aliana, Anis dan Izzah.

KUALA LUMPUR: Pasukan berbasikal trek wanita negara memulakan penyertaan mereka di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan memecahkan rekod kebangsaan acara pecut berpasukan wanita pada pusingan kelayakan.

Trio Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi mencatatkan masa 50.388 saat (s) di Veledrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, hari ini.

Mereka memecahkan rekod mereka sendiri sebelum ini 50.559s yang dicatatkan pada Kejohanan Asia 2022 di New Delhi, India.

Bagaimanapun catatan itu masih belum mencukupi bagi melayakkan trio itu ke pusingan pertama, selepas hanya menempatkan mereka di tempat ke-12 daripada 15 pasukan, jauh dari catatan lapan pasukan terbaik.



Trio kebangsaan itu ketinggalan 3.401s di belakang Great Britain yang mencatatkan 46.987s, diikuti China (47.132s) dan Belanda (47.136s) yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga, manakala New Zealand yang menjadi pasukan terakhir layak, mencatatkan masa 48.254s.

Sementara itu pasukan lelaki juga gagal melepasi pusingan kelayakan, selepas hanya menduduki tempat ke-15 antara 21 negara bertanding.

Trio yang terdiri daripada pemenang pingat perak Kejohanan Asia Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom mencatatkan 45.436s, iaitu ketinggalan 2.661s di belakang Australia (42.775s), manakala Perancis mencatatkan 42.899s dan Jepun (43.144s).

Jaguh berbasikal trek negara dan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo Datuk Mohd Azizulhasni Awang, dijadualkan beraksi dalam acara keirin esok dan pecut pada Ahad.

Edisi Jakarta iaitu yang pertama daripada tiga siri Piala Negara-Negara itu, juga merupakan kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024. - BERNAMA

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/02/1068952/trio-berbasikal-wanita-catat-rekod-baharu
Pages: [1]
View full version: Trio berbasikal wanita catat rekod baharu


ADVERTISEMENT