Burong_Hantuk Publish time 23-2-2023 09:05 AM

Berkebun jika rasa stres

PADA 2020, penyakit mental menduduki tangga kedua yang menyebabkan kehilangan upaya di negara ini.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 pula mendedahkan, 27 peratus penduduk berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan anak-anak muda juga disifatkan membimbangkan. Daripada 5.5 juta remaja, seorang daripada lima anak muda mengalami kemurungan.

Umumnya, tahap stres dihadapi seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan dihadapi. Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Bagaimanapun, stres berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Mengikut kajian University College London pada 2019, kadar kemurungan adalah 20 peratus lebih tinggi di bandar berbanding luar bandar yang alam sekitarnya masih utuh terpelihara.

Justeru, perancangan mestilah bersifat holistik agar bandar sesuai untuk dihuni dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan supaya dapat memperbaiki kesihatan mental secara menyeluruh.

Kehijauan alam semula jadi menawarkan sumber murah untuk peningkatan aktiviti ­fizikal seterusnya mengurangkan gangguan berkaitan stres.

Hakikatnya, gabungan pelbagai warna yang terdapat pada alam semula jadi mampu bertindak sebagai terapi kepada mereka yang mengalami kecelaruan jiwa dan minda.

Berdasarkan ilmu psikologi, warna biru seperti sungai dan laut mampu memberikan rangsangan pemikiran positif, ketenangan dan tumpuan.

Warna hijau pokok pula memberikan kesan ketenangan serta membangkitkan suasana segar, damai dan santai.

Ini secara tidak langsung dapat membantu seseorang yang berada dalam situasi tertekan untuk menyeimbangkan emosi mereka.

Melihat pemandangan dan mendengar bunyi alam semula jadi dapat menenangkan minda serta memberi banyak manfaat positif kepada otak.

Pakar kesihatan di Fakulti Perubatan Harvard, Jason Strauss turut mengakui berinteraksi dengan alam menawarkan manfaat terapeutik yang menenangkan, menurunkan tekanan darah dan kadar hormon stres kortisol.

Selain itu, aktiviti berkebun mempunyai kesan positif terhadap tekanan serta mewujudkan suasana tenteram sebagai pilihan mengurangkan kadar stres.

Kajian kesan berkebun kepada kesihatan mental mendapati paras hormon kortisol menurun dan berada pada tahap normal.

Berhubung dengan alam semula jadi di saat aktiviti berkebun sebenarnya dapat meningkatkan kelegaan daripada tekanan akut, selanjutnya membantu kita berasa jauh daripada tekanan kehidupan sehari-hari.

Hal ini membuktikan alam semula jadi harus dipelihara dan dipulihara sewajarnya kerana menawarkan kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan mental manusia.

Maka, terapi alam sekitar termasuk berkebun harus diperluaskan sebagai kaedah rawatan alternatif untuk mereka yang mengalami gangguan mental. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)

kucingitam Publish time 23-2-2023 11:59 AM

betul ni...
Pages: [1]
View full version: Berkebun jika rasa stres


ADVERTISEMENT