mattzzx Publish time 14-1-2023 11:11 AM

TSG sasar pasukan benua nombor satu dunia

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tsg557_1673605966.jpg
BARISAN pelumba Terengganu Polygon Cycling Team 2023 pada majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba, serta Meraikan Kejayaan Selaku Juara Jelajah Asia UCI 2022 di Permai Hotel malam tadi. FOTO Ghazali Kori

Kuala Terengganu: Juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim lalu, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menyasarkan untuk muncul pasukan benua nombor satu dunia bagi musim 2023.

Pasukan ditubuhkan pada 2011 yang diuruskan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) kini 'berwajah baharu' dengan kehadiran lima pelumba berbakat besar termasuk masing-masing seorang pelumba import dari Indonesia dan Australia manakala tiga lagi pelumba tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, sasaran pasukan terbaik benua itu adalah realistik kerana pasukan itu pernah merangkul gelaran pasukan benua terbaik dunia pada 2019.

"Musim 2023 ini, TSG menetapkan sasaran baharu iaitu sebagai pasukan benua terbaik dunia, tahun lalu kita berjaya mendapat tempat ketiga terbaik daripada 178 pasukan dalam benua dunia UCI, jadi untuk mencapai sasaran baharu ini, kita membuat perancangan baharu dengan membawa masuk tiga pelumba muda dan dua pelumba import baharu yang kita yakin mampu mencapai sasaran itu.

"Lagipun peraturan baharu UCI yang mengubah sistem pungutan mata bagi ranking dunia yang sebelum ini mata yang diperoleh 16 pelumba diambil kira untuk ranking pasukan masing-masing, tapi pada tahun ini diubah kepada 20 pelumba, jadi kita selaku pasukan continental hanya dibenarkan menyenaraikan 16 pelumba sahaja, justeru peluang kita untuk bersaing adalah agak tipis untuk memperbaiki kedudukan dunia.

"Bagaimanapun kita menetapkan sasaran baharu selepas kita menilai peraturan baharu itu. Ini tidak mustahil kerana kita pernah menduduki rangking pertama pasukan benua terbaik dunia pada 2019," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba, Barisan Penaja Pasukan TSG 2023 serta Meraikan Kejayaan Selaku Juara Jelajah Asia 2022 di Permai Hotel, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdulah serta Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Selain membawa masuk tiga pelumba muda tempatan iaitu Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhee Yie dan Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim, TSG turut 'menyambar' pelumba Indonesia yang juga jaguh kebangsaan negara itu, Aiman Cahyadi dan pelumba kelahiran Australia, Jesse Ewart yang merangkul gelaran ketiga keseluruhan Tour du Rwanda tahun lalu.

Pelumba tempatan lain yang turut berada dalam pasukan musim ini termasuk jaguh lebuh raya, Mohd Harrif Saleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Irwandie Lakasek, Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif, Wan Abdul Rahman Hamdan.

Manakala pelumba import musim lalu iaitu Youcef Reguigui (Algeria), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea), Jeroen Meijers (Belanda), Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan pelumba kelahiran Ukraine, Anatolii Budiak masih bersama pasukan.

Sementara itu Nasiruddin berkata, musim ini TSG mendapat jumlah tajaan terbesar sepanjang penubuhan pasukan iaitu sebanyak RM11, 039,088 juta membabitkan 24 syarikat dalam dan luar negara serta kerajaan negeri.

"Musim baharu ini, TSG akan membuka tirai kejohanan dengan menyertai Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertaraf 2.2 bermula 27 hingga 31 Januari ini dan pelumba yang bakal menyertai perlumbaan pertama itu akan diumumkan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/01/925445/tsg-sasar-pasukan-benua-nombor-satu-dunia
Pages: [1]
View full version: TSG sasar pasukan benua nombor satu dunia


ADVERTISEMENT