mattzzx Publish time 28-11-2022 02:57 PM

Suspek tetak, samun pemborong sayur diberkas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/samun_1669617327.jpg
ANGGOTA polis berjaya memberkas tiga daripada empat penjenayah yang menyamun pemborong sayur. FOTO ihsan pembaca

Parit Buntar: Tiga daripada empat penjenayah yang menyamun dan menetak pemborong sayur di Pasar Awam Parit Buntar, di sini, semalam, berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas suspek cuba merempuh anggota dengan kereta.

"Pada jam 4 petang semalam, anggota yang melakukan rondaan rutin terserempak dengan sebuah Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.


"Anggota kemudian ternampak tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang melulu masuk ke dalam kereta itu menyebabkan polis cuba menahan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terkejut dengan kehadiran polis, suspek bertindak melibas pedang dan cuba merempuh anggota.

"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi menghentikan kenderaan sebelum tiga daripada empat suspek berjaya diberkas.

"Suspek yang melepaskan diri sudah dikenal pasti dan usaha memburunya kini giat dijalankan," katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek yang ditahan berusia 47 hingga 63 tahun dan kesemuanya mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Suspek yang melarikan diri dikenali sebagai P Manimaran dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di talian 013-2604403 atau balai polis berhampiran," katanya.

Mohd Yusri berkata, terdahulu kumpulan terbabit melakukan rompakan terhadap seorang pemborong sayur di pasar itu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun ditetak di pergelangan tangan kanan dan suspek melarikan seutas rantai leher yang dipakainya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Parit Buntar dan anggaran kerugian yang dialaminya sebanyak RM15,000.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909144/suspek-tetak-samun-pemborong-sayur-diberkas
Pages: [1]
View full version: Suspek tetak, samun pemborong sayur diberkas


ADVERTISEMENT