mattzzx Publish time 28-11-2022 02:55 PM

'Diseksa' hidu bau busuk saban hari

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm230kumbahan_1669616679.jpg
TAPAK pelupusan sampah haram yang menyebabkan air resapan sampah dan berbau busuk serta pencemaran sungai di Bukit Serdang, Puchong.

Subang Jaya: Busuk dan meloyakan. Begitu 'seksaan jiwa' terpaksa dilalui penduduk Taman Puncak Jalil, di sini, saban hari sejak tiga bulan lalu.

Keadaan itu berlaku dipercayai berpunca daripada tapak pelupusan sampah haram yang terletak kira-kira antara empat hingga lima kilometer dari kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, air sisa buangan itu turut meresap ke dalam kolam takungan di tapak pelupusan berkenaan menyebabkan air bertukar warna dan berbau busuk.


Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal berkata, bau busuk itu terpaksa dihidu penduduk sekitar hampir setiap hari.

Menurutnya, masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga menyebabkan kehidupan penduduk terganggu.

"Kami sudah tidak tahan dengan bau busuk yang datang dari bahan buangan itu (sampah sarap) terutama pada waktu malam.

"Tapak pelupusan itu terletak di Bukit Serdang dan berada dalam tanah persendirian yang dikawal ketat oleh pekerja. Tempatnya pula berhampiran Taman Puncak Jalil yang mempunyai kira-kira 9,000 rumah.

"Saya difahamkan, terdapat kolam takungan di dalamnya yang menyebabkan air sampah mengalir dan menyerap sehingga mengeluarkan bau sangat busuk," katanya ketika ditemui, hari ini.

Zainuddin mendakwa, dia bersama penduduk sudah membuat aduan mengenai masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) beberapa kali sejak dua bulan lalu dan kali terakhir pada 4 November lalu.

Beliau turut mengakui pihak terbabit bersama beberapa agensi berkaitan sudah membuat pemeriksaan di lokasi, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Katanya, berdasarkan maklumat, tapak berkenaan sudah disita tetapi dilihat kembali beroperasi beberapa hari kemudian.

"Kami melancarkan petisyen yang ditandatangani hampir 2,000 penduduk sebelum diserahkan kepada pihak berwajib dan berharap masalah ini dapat diatasi.

"Pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kerana ia menyebabkan pencemaran bau serta rasa tidak selesa kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan di Facebook pada 14 November lalu memaklumkan sudah membuat lawatan ke tapak pelupusan haram yang menyebabkan bau busuk serta pencemaran sungai di Bukit Serdang, Puchong.

Menurut kenyataan itu, lawatan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang bersama Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh; wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS); Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ); serta Pejabat Tanah dan Galian Daerah Petaling.

Dalam pada itu, jurucakap MBSJ ketika dihubungi, hari ini memberitahu pihaknya akan menyemak status terkini kes berkenaan dan memaklumkan tindakan lanjut.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909138/diseksa-hidu-bau-busuk-saban-hari
Pages: [1]
View full version: 'Diseksa' hidu bau busuk saban hari


ADVERTISEMENT