mattzzx Publish time 28-11-2022 12:09 PM

Hasil laut meningkat, harga ikan kembung stabil

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/ikan-stabil-resize.jpeg
PELANGGAN sedang membeli hasil laut termasuk ikan kembung dan jenahak yang kembali stabil dan dijual lebih murah di Pasar Tikam Batu, Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR



SUNGAI PETANI: Harga ikan kembung segar di sekitar Kuala Muda, di sini kembali stabil susulan peningkatan tangkapan laut itu sejak kelmarin.

Tinjauan di sekitar pasar pagi Tikam Batu mendapati, harga ikan kembung kini dijual sekitar RM7 hingga RM13 sekilogram (kg) berbanding RM15 hingga RM18 sebelum ini.

Peniaga ikan di Pasar Tikam Batu, Mohd. Shamil Zulkifli, 27, berkata, bekalan ikan kembung segar setakat ini diambil daripada nelayan dari Kuala Muda, Pulau Pangkor dan Pantai Remis di Perak.

Menurut beliau, keadaan cuaca yang semakin pulih selain faktor bulan penuh dan air pasang juga menjadi penyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan nelayan ketika ini.

“Bekalan ikan kembung gred A diambil dari Pulau Pangkor dan Pantai Remis dijual dengan harga RM13 sekilogram.

“Manakala ikan kembung gred B yang diambil dari nelayan Kuala Muda dijual dengan harga RM10 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini.

Kata Mohd. Shamil, penurunan harga ikan kembung di pasaran kini mendapat reaksi positif pelanggan.

“Pembelian untuk ikan itu kini meningkat sejak penurunan harga semalam. Jika sebelum ini, setiap pelanggan beli ikan kembung tidak sampai sekilo tetapi sejak semalam kebanyakan pelanggan membeli purata hingga 2kg seorang,” katanya.

Tambahnya, selain ikan kembung, ikan jenahak turut turun harga iaitu hari ini dijual dengan harga RM31 sekilogram berbanding RM36 semalam manakala ikan bawal emas dan bawal hitam kekal dengan RM32 sekilogram. –UTUSAN

https://www.utusan.com.my/berita/2022/11/hasil-laut-meningkat-harga-ikan-kembung-stabil/
Pages: [1]
View full version: Hasil laut meningkat, harga ikan kembung stabil


ADVERTISEMENT